DUNIA
Siapa golongan Druze dan mengapa Israel serang Syria?

Golongan Druze dari Syria dan Israel mengadakan tunjuk perasaan di sempadan Israel-Syria, bertempat di Majdal Shams di Dataran Tinggi Golan yang dikawal oleh Israel. - Foto AP
SWEIDA: Ketegangan terbaru di Syria telah mencetuskan persoalan global, siapa sebenarnya golongan Druze, dan mengapa Israel melancarkan serangan udara terhadap Syria?
Ringkasan AI
- Penculikan seorang peniaga Druze mencetuskan pertempuran antara militia Druze dan puak Bedouin Sunni, menyebabkan lebih 300 kematian dan mengundang perhatian global terhadap komuniti Druze.
- Golongan Druze ialah minoriti etno-agama yang tersebar di Syria, Israel dan Lubnan; di Israel mereka dianggap setia dan berkhidmat dalam pasukan keselamatan, menjadikan isu keselamatan mereka sensitif bagi Tel Aviv.
- Israel melancarkan serangan udara ke Syria atas alasan melindungi komuniti Druze, namun tindakan ini dikecam oleh Syria dan beberapa negara lain sebagai pelanggaran kedaulatan dan undang-undang antarabangsa.
Siapa Golongan Druze?
Golongan Druze ialah minoriti etno-agama berbahasa Arab yang mendiami Syria, Lubnan, Israel dan Dataran Tinggi Golan.
Agama mereka merupakan cabang dari Syiah Islam, tetapi mereka tidak menganggap diri sebagai Muslim.
Di Syria, mereka membentuk kira-kira 3 peratus populasi, dengan komuniti terbesar di wilayah selatan Sweida.
Di Israel, terdapat lebih 150,000 Druze, dan ramai yang menyertai tentera dan pasukan keselamatan Israel, menjadikan mereka minoriti yang dianggap setia kepada negara itu.
Mengapa Israel Menyerang Syria?
Israel mendakwa serangan udara bertujuan melindungi komuniti Druze daripada serangan tentera Syria dan militia pro-kerajaan.
Serangan bermula pada 15 Julai di Sweida, dan diperluas ke ibu pejabat Kementerian Pertahanan Syria di Damsyik pada 16 Julai.
Israel juga menyatakan hasrat untuk mewujudkan zon bebas tentera di selatan Syria, berhampiran sempadan Dataran Tinggi Golan yang didudukinya sejak 1967.
Menteri Luar Israel, Israel Katz, memberi amaran bahawa serangan akan diteruskan jika tentera Syria tidak berundur dari kawasan Druze.
Implikasi Serantau
Syria mengecam serangan Israel sebagai pelanggaran kedaulatan dan undang-undang antarabangsa.
Beberapa negara dunia seperti Lubnan, Iraq, Mesir dan Malaysia turut mengutuk tindakan Israel.
Ketegangan ini berlaku ketika Syria cuba memulihkan kestabilan selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024, dan kini dipimpin oleh Ahmed al-Sharaa, bekas pejuang jihad yang berjanji melindungi minoriti.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami