INTERNATIONAL
Siasatan tentera Israel ‘penuh pembohongan’ - Jurucakap Bulan Sabit Merah Palestin

Rakyat Palestin mekaksanakan solat jenazah ke atas mayat-mayat mangsa petugas petugas perubatan dan bantuan kemanusiaan Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel. - Gambar fail Reuters
RAMALLAH: Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) menyifatkan laporan siasatan tentera Israel berhubung pembunuhan 15 petugas perubatan dan bantuan kemanusiaan Palestin di Gaza bulan lalu sebagai “penuh dengan pembohongan.”
Jurucakap PRCS, Nebal Farsakh, berkata laporan tersebut tidak sah dan tidak boleh diterima kerana ia cuba menghalalkan pembunuhan dan mengalihkan tanggungjawab kepada kesilapan individu di peringkat komando lapangan.
“Laporan itu penuh dengan pembohongan,” katanya kepada agensi berita AFP.
“Ia tidak sah dan tidak boleh diterima kerana cuba mewajarkan pembunuhan dan menyalahkan kesilapan individu di lapangan, sedangkan hakikat sebenar adalah jauh berbeza,” tambahnya.Dalam perkembangan sama, aktivis hak asasi manusia, Adam Shapiro menyifatkan laporan siasatan Israel berhubung pembunuhan petugas perubatan Palestin di Gaza sebagai satu usaha “menutup kebenaran” dan tidak menyentuh dasar sistematik Israel yang memungkinkan kejadian itu berlaku.
“Saya percaya ini sebenarnya adalah satu penipuan yang disengajakan. Ia hanya bertujuan untuk meletakkan kesalahan kepada satu individu, bukannya memberi gambaran sebenar tentang apa yang berlaku,” katanya kepada Al Jazeera.
“Kita tahu berdasarkan bukti yang telah dikumpulkan dan dikemukakan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, mangsa memang disasarkan, mereka mengalami kecederaan akibat tembakan jarak dekat dan kenderaan mereka mempunyai lampu isyarat menyala pada waktu kejadian. Segala maklumat awal yang dikeluarkan oleh pihak Israel adalah pembohongan,” jelas beliau.
Shapiro turut menegaskan, pendekatan seperti ini sudah menjadi kebiasaan dalam tindak balas Israel terhadap dakwaan pencabulan hak asasi manusia.
“Sama ada di Tebing Barat, Gaza atau Lubnan pada era terdahulu, di mana sahaja tentera Israel beroperasi, mereka melakukan jenayah perang dan kemudian menutupnya dengan pelbagai alasan,” katanya lagi.
Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dalam laporannya mendedahkan, "kegagalan profesional" menjadi punca insiden serangan yang mengorbankan 15 petugas kecemasan di Gaza bulan lalu.
Hasil siasatan dalaman IDF mendapati, beberapa kelemahan berlaku dalam operasi itu, termasuk "salah faham taktikal" dan "pelanggaran arahan."
Insiden pada 23 Mac lalu itu menyaksikan 14 petugas perubatan dan seorang kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terbunuh selepas konvoi yang terdiri daripada ambulans PRCS, kenderaan PBB dan sebuah trak bomba ditembak oleh tentera Israel.
Dalam kenyataan rasmi, IDF berkata, anggotanya melepaskan tembakan kerana menyangka mereka berdepan ancaman musuh.
IDF turut mendakwa, enam daripada mangsa merupakan anggota Hamas dan menafikan dakwaan berlaku hukuman mati tanpa bicara.
Pegawai penyiasat insiden, Mejar Jeneral Yoav Har-Even berkata kepada media, IDF kekal dengan pendirian bahawa enam daripada petugas yang terbunuh adalah pejuang Hamas dan akan mendedahkan identiti mereka kelak.
Pada awalnya, IDF mendakwa kenderaan konvoi itu menghampiri secara "mencurigakan" tanpa lampu dan tidak membuat penyelarasan terlebih dahulu.
Namun, selepas rakaman video daripada telefon bimbit salah seorang petugas yang maut ditemui, IDF menarik balik kenyataan itu.
Rakaman tersebut menunjukkan kenderaan itu dinyalakan dengan lampu serta isyarat kecemasan dan jelas bertanda sebagai ambulans, manakala petugas memakai pakaian pantulan cahaya.
Dalam video berdurasi lebih lima minit itu, kedengaran doa terakhir seorang paramedik sebelum suara tentera Israel kedengaran menghampiri lokasi.
Mayat kesemua 15 mangsa hanya dapat dikeluarkan seminggu kemudian kerana agensi antarabangsa termasuk PBB tidak dapat memasuki kawasan itu atau mengenal pasti lokasinya dengan selamat.
IDF turut mengesahkan penahanan seorang petugas PRCS berhubung insiden tersebut, yang sebelum ini dikenal pasti oleh Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa sebagai Assad al-Nassasra.
Bulan Sabit Merah Palestin dan beberapa pertubuhan antarabangsa telah menggesa siasatan bebas dijalankan terhadap insiden itu.
Israel memulakan serangan besar di Rafah pada Mei 2024, mengakibatkan kemusnahan besar-besaran.
Puluhan ribu penduduk kembali ke kawasan yang musnah itu semasa gencatan senjata selama dua bulan baru-baru ini.
Kempen ketenteraan Israel terhadap Hamas bermula selepas serangan lintas sempadan pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan sekitar 1,200 orang dan 251 yang lain dijadikan tebusan.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas, sekurang-kurangnya 51,201 nyawa telah terkorban di Gaza sejak konflik bermula. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami