TOKYO: Penyertaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin ASEAN lain pada Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun sempena ulang tahun ke-50 persahabatan dan kerjasama di sini, pada 16 hingga 19 Disember dianggap sangat signifikan.

Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany berkata ini memandangkan hubungan akrab sejak 1973 apatah lagi bersempena sambutan tahun jubli emas yang bertemakan ‘Golden Friendship, Golden Opportunities'.

“…ini juga akan menjadi saksi dan menzahirkan komitmen Malaysia dalam persepakatan ASEAN dalam menentukan hala tuju baharu dalam hubungan dan kerjasama ASEAN dengan Jepun terutamanya dalam menghadapi cabaran global baharu.

“Ini termasuk krisis geopolitik, perubahan iklim, keterjaminan makanan dan tenaga boleh diperbaharui," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Tokyo.

Untuk rekod, ini merupakan lawatan kerja pertama Perdana Menteri ke Jepun sejak menjawat jawatan itu pada 24 November 2022.

Semasa lawatan kerja ini Perdana Menteri dijangka mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya, Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida.

“Semasa pertemuan ini, kedua-dua pemimpin akan menandatangani kenyataan bersama bagi memperbaharui hubungan diplomatik Malaysia-Jepun dan Perkongsian Strategik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif oleh kedua-dua buah negara,” jelasnya

Perdana Menteri dijangka mengikuti jadual padat semasa lawatan kerja lima hari di Tokyo sehingga 19 Disember termasuk menghadiri satu majlis untuk meraikan kesemua pemimpian ASEAN yang turut dihadiri Maharaja Jepun.

Sementara itu, Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Datuk Zanariah Zainal Abidin berkata Malaysia juga akan ketengahkan isu berkaitan perubahan iklim yang turut menjadi tumpuan di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP28) di Dubai baru-baru ini.

“Kita (Malaysia) juga akan bercakap dari segi ekonomi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Sudah tentu, perkara yang selalu Perdana Menteri bangkitkan ialah perkembangan di Palestin dengan ambil kira perkembangan di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) baru-baru ini,” jelasnya.