CAPE TOWN: Kesatuan BRICS terdiri daripada lima ekonomi sedang pesat membangun bertemu di Afrika Selatan mulai Selasa pada sidang kemuncak yang dijangka memberi tumpuan kepada pengembangan kumpulan itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kesatuan itu merangkumi Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan. Ia kini menyasarkan untuk menjadi "BRICS plus" dan menerima ramai ahli baharu.

Negara anggota masih perlu bersetuju dengan kriteria kemasukan. Ia juga masih tidak jelas bila negara tambahan akan dimasukkan. Mesyuarat berlangsung sehingga Khamis.

Presiden China Xi Jinping, Luiz Inacio Lula da Silva dari Brazil, Cyril Ramaphosa dari Afrika Selatan dan Perdana Menteri India Narendra Modi dijangka menghadiri sidang kemuncak itu.

Presiden Rusia Vladimir Putin pula diwakili oleh Menteri Luar Sergei Lavrov.

Bagaimanapun Putin dijadual akan mengambil bahagian dalam sidang kemuncak itu melalui pautan video.

Jika Putin hadir ke Afrika Selatan, beliau berdepan risiko ditahan atas tuduhan jenayah perang semasa pencerobohan Rusia ke atas Ukraine di bawah waran yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague.

Matlamat untuk mengembangkan kumpulan itu adalah "mencari alternatif" terhadap keseimbangan kuasa global semasa, menurut Menteri Luar Negeri Afrika Selatan, Naledi Pandor.

Negara-negara BRICS berkata mereka menyumbang 42 peratus daripada jumlah penduduk dunia, 30 peratus daripada keluasan tanah global dan 24 peratus daripada keluaran ekonomi global.

Lebih 30 negara lain telah mengesahkan penyertaan mereka dalam mesyuarat tiga hari itu. Selain itu, 67 ahli politik dari Afrika turut dijemput selain 20 wakil dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Afrika, dan komuniti ekonomi rantau di Afrika dan lain-lain.

-- BERNAMA