SINGAPURA: Singapura berdepan gelombang jangkitan COVID-19 sejak sebulan lalu, kata Menteri Kesihatan republik itu Ong Ye Kung.

Bagaimanapun, katanya, seperti semua penyakit endemik, negara itu tidak lagi mempunyai data terperinci mengenai jangkitan COVID-19.

Ong berkata demikian dalam ucapannya pada Seminar Rancangan Kerja Tahunan Kolektif Kesihatan Populasi Kumpulan Penjagaan Kesihatan Kebangsaan pada Jumaat.

Menerusi teknik persampelan, Ong berkata kementerian bagaimanapun menyedari bahawa peratusan pesakit yang mengalami simptom pernafasan akut dan turut diuji positif COVID-19, serta 'viral load' dalam sampel air buangan telah meningkat.

"Ini menunjukkan kita kini berdepan gelombang jangkitan sejak sebulan lalu.

"Berdasarkan pemerhatian, kami menganggarkan jangkitan harian mungkin meningkat daripada 1,400 sebulan lalu kepada kira-kira 4,000 kes harian minggu lepas.

"Ini adalah sebahagian kecil daripada 20,000 atau lebih kes harian yang kita alami pada kemuncak krisis.

"Penilaian kami ialah bilangan kes berkemungkinan stabil minggu ini," katanya.

Dalam keadaan sedemikian, Ong berkata bahawa apa yang mendorong gelombang tempatan bukanlah jangkitan import, "tetapi jangkitan semula dalam kalangan masyarakat."

Beliau berkata apabila perlindungan terhadap jangkitan atau vaksinasi berkurangan dari masa ke masa, orang ramai dijangkiti semula dan hal itu menyebabkan bilangan kes meningkat dan gelombang baharu muncul.

Kementerian Kesihatan menganggarkan bahawa kira-kira 30 peratus daripada jangkitan semasa adalah jangkitan semula, lebih tinggi berbanding 20 peratus hingga 25 peratus semasa gelombang jangkitan terakhir.

Menurut Ong, kementeriannya akan terus melakukan penjujukan genom bagi sampel virus itu.

"Kini terdapat pelbagai varian yang beredar - XBB, XBB.1.5, XBB.1.9, XBB.1.16, XBB.2.3, BN.1, CH.1.1 - tanpa dominan yang jelas.

"Yang menjadi keutamaan sekarang ialah XBB.1.16, juga dipanggil Arcturus.

"Daripada semua jenis strain terkini, tidak ada satu pun yang kami perhatikan adalah dominan, dan tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa mana-mana daripada mereka menyebabkan penyakit yang lebih teruk," katanya.

Ong berkata aspek paling penting dalam mana-mana gelombang jangkitan ialah ia menyebabkan gejala teruk dan kemasukan ke hospital.

"Tiada bukti yang menunjukkan bahawa mana-mana strain XBB semasa menyebabkan simptom yang lebih teruk," katanya.

Ong mendedahkan bahawa jumlah pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital telah meningkat, daripada 80 kepada 220 sejak sebulan lalu "tetapi angka berkenaan di bawah kemuncak wabak itu."

"Ia juga jauh lebih rendah berbanding jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital bukan disebabkan COVID-19.

Kemasukan ICU (unit rawatan rapi) kekal stabil dan rendah, dengan kurang daripada 10 pesakit COVID-19 pada satu-satu masa sepanjang bulan lepas," katanya.

-- BERNAMA