SINGAPURA: Perdana Menteri, Lawrence Wong berkata, Singapura akan terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa bagi mempertahankan hak laluan transit di selat yang digunakan untuk pelayaran antarabangsa.
Dalam hantaran Facebook pada Jumaat, Wong berkata, mesej itu disampaikan semasa mesyuarat maya bersama hampir 50 negara lain, yang dianjurkan bersama oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Perdana Menteri United Kingdom, Keir Starmer.
Advertisement
Mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan usaha memulihkan hak dan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz.
“Setiap negara yang hadir, termasuk yang tidak mempunyai sempadan laut, mengiktiraf kepentingan kritikal untuk menegakkan undang-undang antarabangsa di selat itu.
“Ia adalah kepentingan bersama untuk memastikan laluan penting perdagangan global ini kekal terbuka, selamat dan boleh diakses oleh semua,” katanya.
Sementara itu, Wong turut menyatakan yang pemulihan laluan yang selamat, boleh diramal dan tanpa halangan melalui Selat Hormuz perlu berjalan seiring dengan usaha menamatkan perang, menurut Channel News Asia.
Beliau berkata, hak laluan transit seperti yang diperuntukkan di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) adalah amat penting.
“Singapura bersedia memainkan peranan dan bekerjasama dengan rakan-rakan untuk memulihkan Selat Hormuz yang bebas dan terbuka, selaras dengan undang-undang antarabangsa.
“Itu bermakna tiada tol, tiada sekatan dan kembali kepada keadaan sebelum perang,” katanya.
-- BERNAMA