ESOK merupakan hari penamaan calon bagi pilihan raya umum (PRU) Singapura ke-18.

Ia susulan pembubaran Parlimen oleh Presiden Singapura, Halimah Yaacob pada 23 Jun lalu bagi membuka laluan untuk mengadakan PRU.

Apa yang menariknya pada PRU kali ini ialah ia bakal diadakan di kala republik itu, malah dunia secara keseluruhannya, dilanda ancaman pandemik COVID-19.

Berikut beberapa fakta menarik yang perlu anda tahu tentang PRU Singapura:


1. Tarikh penting PRU

Hari Penamaan Calon - Selasa, 30 Jun 2020
Tempoh Berkempen - Sembilan hari
Hari tanpa kempen - Khamis, 9 Julai 2020
Hari mengundi - Jumaat, 10 Julai 2020


2. Jumlah pengundi

Jabatan Pilihan Raya (ELD) memaklumkan hampir 2.6 juta rakyat Singpura layak untuk mengundi dalam pilihan raya kali ini.

Jumlah itu meningkat daripada 2.46 juta daftar pemilih pada PRU 2015 manakala 2.51 juta direkodkan pada 2017, termasuk pengundi dari luar negara.


3. Pindaan Perlembagaan

Buat kali pertama, PRU Singapura pada 10 Julai depan akan menyaksikan minimum 12 ahli Parlimen pembangkang dalam Parlimen.

Ini berikutan pindaan Perlembagaan yang dibuat bagi menjamin tidak kurang 12 ahli Parlimen pembangkang dipilih.


4. Jumlah kerusi terlibat

Kawasan undi dinaikkan daripada 29 kawasan kepada 31 kawasan, menjadikan kerusi di Parlimen meningkat kepada 93 kerusi berbanding 89 kerusi sedia ada.


5. Kawasan pilihan raya

Sesuatu yang unik tentang pilihan raya Singapura ialah pembahagian kawasan iaitu Perwakilan Tunggal (SMC) dan Perwakilan Berkumpulan (GRC).

SMC adalah pilihan raya berkerusi tunggal yang meliputi 14 kawasan, manakala GRC mempunyai banyak kerusi antara tiga hingga enam perwakilan meliputi 17 kawasan.


6. Parti-parti politik

Terdapat dua parti politik di Parlimen Singapura ketika ini iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Pekerja Singapura.

Bagaimanapun, terdapat 11 parti politik yang aktif antaranya Parti Demokratik Singapura, Parti Keadilan Singapura, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Singapura, dan Parti Reformasi.


7. Proses pelaksanaan PRU ketika pandemik

Pelan kontingensi diperkenalkan oleh Jabatan Pilihan Raya (ELD) Singapura bagi memastikan PRU akan datang berjalan lancar dan selamat dalam suasana kebimbangan ancaman pandemik COVID-19.

Garis panduan juga akan diperhalusi dan diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) untuk melindungi kesihatan dan keselamatan pengundi, calon dan pegawai pilihan raya sepanjang proses pencalonan dan pengundian.

i. Memastikan jarak selamat dan pengendalian orang ramai, terutamanya dalam aktiviti kempen, termasuk perhimpunan fizikal, tinjauan dan lawatan rumah ke rumah.

ii. Pemeriksaan suhu badan dan aplikasi SafeEntry juga akan dimanfaatkan untuk daftar masuk/keluar bagi pengesanan kontak serta menguatkuasakan penjarakan sosial pada setiap masa.

iii. ELD juga akan menambah jumlah pusat pengundian daripada 880 kepada 1,100, dengan jumlah pengundi di setiap pusat akan dikurangkan daripada purata 3,000 kepada 2,400.

iv. Menjelang hari pengundian, ELD akan membuat pemakluman dan hebahan kepada pengundi menerusi pelbagai saluran komunikasi dalam empat bahasa rasmi bagi memberi jaminan bahawa keadaan adalah selamat untuk pengundi dalam pilihan raya yang diadakan dalam situasi COVID-19.