PUTRAJAYA: Seorang lelaki didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah memuat naik kandungan jelik melampau dan menghina institusi kehakiman menerusi Facebook.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan Mohamad Azri Sahlam, 41, membuat pengakuan itu selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Keningau di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan aplikasi secara sedar untuk memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau pada 22 Dis lepas.
Advertisement
“Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda itu dan dia telah menjelaskannya,” menurut kenyataan itu.
Hukuman berkenaan diperuntukkan di bawah Seksyen 233(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membawa penalti denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Suruhanjaya itu mengingatkan orang ramai agar menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab bagi memastikan ruang siber kekal selamat serta bebas daripada penyalahgunaan yang boleh mencetuskan keresahan dan ketegangan dalam masyarakat.
“MCMC memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau berunsur 3R (agama, kaum dan institusi diraja).
"Perbuatan sedemikian bukan sahaja menjejaskan kedaulatan undang-undang dan kebebasan institusi kehakiman, malah berpotensi menggugat ketenteraman serta keharmonian awam,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA