SANDAKAN: Sebanyak 262 mangsa kebakaran Kampung Bahagia, di sini menerima intervensi psikososial melalui sesi yang dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di pusat pemindahan sementara (PPS) terlibat, bermula 20 hingga 23 April lepas.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata pendekatan itu bagi membantu mangsa menstabilkan emosi, mengurangkan kesan trauma dan mempercepat proses pemulihan.
Advertisement
"Selain penyediaan keperluan asas, JKM turut memberi penekanan terhadap aspek pemulihan emosi melalui pelaksanaan intervensi krisis serta sokongan psikologi kepada mangsa.
"Intervensi ini dilaksanakan oleh pegawai psikologi JKM dan pasukan sokongan di PPS termasuk di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sapi, Sekolah Kebangsaan (SK) Gas, Dewan Projek Perumahan Rakyat Taman Batu Sapi, SK Karamunting dan Dewan Sibuga," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran di PPS Dewan Rumah Orang Tua Sri Harapan di sini hari ini.
Nancy berkata JKM memainkan peranan dalam menyelaras serta mengurus operasi PPS termasuk melaksanakan pendaftaran mangsa menerusi Sistem Info Bencana JKM, mengurus agihan barangan keperluan dan penyediaan makanan kepada mangsa sebanyak tiga kali sehari.
Beliau berkata 48 pegawai dan petugas JKM dari Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Tongod, Telupid, dan Paitan, selain institusi serta 15 sukarelawan di bawah JKM digerakkan bagi membantu operasi di PPS.
Dalam pada itu, Nancy berkata Yayasan Kebajikan Negara (YKN) selaku agensi di bawah kementeriannya turut memainkan peranan menerusi sumbangan Bantuan Kasih Prihatin berupa cek berjumlah RM200,000 kepada Tabung Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah untuk diselaraskan dan diagihkan kepada mangsa bencana.
"Selain bantuan tunai, YKN turut mengagihkan beg berisi makanan bagi dewasa, beg berisi peralatan menulis dan mewarna untuk kanak-kanak serta beg barangan keperluan mengandungi pakaian, susu dan lampin bayi," katanya.
Mengenai program hari ini, Nancy berkata ia mendapat kerjasama Yayasan Sime Darby yang menyumbang kit kebersihan, tilam dan bantal kepada mangsa bencana di kampung tersebut.
Beliau berkata kerjasama itu merupakan simbol komitmen berterusan sektor korporat dalam membantu golongan yang terkesan akibat bencana dan diharapkan lebih banyak agensi korporat tampil memberi sumbangan bagi meringankan beban mangsa.
Pada 19 April lepas, sebanyak 1,000 rumah atas air musnah dalam kebakaran di kampung itu yang menyebabkan ribuan penduduk terjejas.
-- BERNAMA