Skip to main content

Dunia

Singapura peruntuk S$800 juta pelaburan untuk majukan teknologi, inovasi pengangkutan

41758123315_SMRTsingapura.jpg
Pelaburan itu akan disalurkan kepada pembangunan teknologi canggih termasuk inisiatif di bawah Misi Kesalinghubungan Kecerdasan Buatan (AI), seperti depot MRT automatik sepenuhnya, sistem pengurusan trafik udara didorong AI serta rangkaian pelabuhan pintar. - Gambar fail/Astro AWANI
Advertisement

SINGAPURA: Singapura merancang untuk melabur sebanyak S$800 million (S$1=RM3.14) dalam tempoh lima tahun akan datang bagi penyelidikan dan inovasi pengangkutan untuk menyokong usaha membangunkan teknologi peneraju, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow.

Beliau berkata pelaburan itu, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Penyelidikan, Inovasi dan  Perusahaan (RIE) 2030 Yayasan Penyelidikan Kebangsaan, adalah sekali ganda lebih tinggi berbanding pembiayaan dalam tempoh lima tahun lepas.

"Kami akan menggunakan dana ini untuk menyokong idea yang boleh mengubah sepenuhnya cara pengangkutan beroperasi hari ini," katanya ketika menjawab usul memperkukuh kedudukan Singapura sebagai hab pengangkutan global di Parlimen pada Selasa.

Menurut Siow, pelaburan itu akan disalurkan kepada pembangunan teknologi canggih termasuk inisiatif di bawah Misi Kesalinghubungan Kecerdasan Buatan (AI), seperti depot MRT automatik sepenuhnya, sistem pengurusan trafik udara didorong AI serta rangkaian pelabuhan pintar.

"Sekiranya projek ini berjaya dalam tempoh sedekad akan datang, Singapura akan kekal sebagai antara hab pengangkutan dan logistik utama dunia, namun dengan wajah yang berbeza sama sekali," katanya.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan menekankan bahawa kira-kira dua pertiga daripada jumlah pelaburan berkenaan akan disalurkan ke arah membina dua keupayaan utama bagi sektor pengangkutan iaitu Autonomi dan Kembar Digital untuk Kesalinghubungan.

Baki pelaburan pula akan disalurkan kepada penyelidikan khusus bagi memperdalam keupayaan dalam setiap sektor merangkumi penerbangan, pengangkutan darat dan maritim.

Bagi penerbangan, MOT menyatakan penyelidikan akan menumpukan kepada pembinaan keupayaan baharu untuk hab udara Singapura bagi memenuhi permintaan perjalanan udara serta jumlah kargo udara yang semakin meningkat, manakala pengangkutan darat akan memberi fokus kepada teknologi transit massa autonomi generasi akan datang dan depot rel automatik.

"Dalam sektor maritim, penyelidikan akan tertumpu kepada operasi pelabuhan autonomi, penghantaran tenaga alternatif yang selamat dan cekap, kapal pintar, serta perkhidmatan pelabuhan pintar dan bersepadu.

Kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan industri untuk bersama-sama membangunkan penyelesaian yang menangani cabaran pengangkutan dunia sebenar, sekali gus memperkukuh kedudukan Singapura sebagai hab pengangkutan dan kesalinghubungan global bertaraf dunia," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement