TUJUH hari sebelum perlumbaan ikonik, Le Tour de Langkawi (LTdL 2026) membuka tirainya, persiapan operasi kini berada di peringkat akhir dengan penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan dan Majlis Sukan Negeri sudah mencapai tahap 90 ke 95 peratus selesai.
Dalam masa sama, kerja-kerja pemasangan logistik di setiap venue turut giat dilaksanakan bagi memastikan semua keperluan operasi dapat disediakan mengikut perancangan.
Menurut Pegawai Operasi LTdL, Azrul Fahmi Azizul, setiap aspek perlu diteliti dan diselaraskan bagi memastikan tiada lompong dalam operasi yang boleh menjejaskan kelancaran perlumbaan itu.
Ia bagi mengekalkan nama baik Malaysia dengan menyajikan pengalaman serta hospitaliti penganjuran yang berkelas dunia.
"Kami dalam fasa terakhir (persiapan). Kami sedang tunggu daripada segi barangan dan sudah mula bekerjasama dengan PBT dan Majlis Sukan Negeri untuk lokasi penamat dan penutup," katanya kepada wartawan Astro Arena, Husna Zainudin.
"Daripada segi pemasangan gegantung dan kain rentang, dan kelulusan lokasi kesemuanya sudah mendapat kelulusan.
"Kami mencuba sehabis baik kerana pandangan pertama daripada pasukan luar negara amat penting.
"Apabila mereka datang ke Malaysia, kami bertanggungjawab sebagai duta Malaysia," ujarnya.
* Artikel asal disiarkan di StadiumAstro.com