SITUASI terkini pandemik COVID-19 di seluruh dunia adalah tidak menentu.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata berdasarkan data terkini, ada sesetengah negara berjaya mengawal wabak itu daripada terus merebak manakala ada negara yang masih bergelut memeranginya.

"Di seluruh dunia kita sedang melihat peningkatan kes COVID-19 yang dilaporkan terutamanya di Eropah dan Amerika.

"Setiap hari terutama empat hari terakhir ini menunjukkan angka tertinggi dilaporkan.

"Banyak bandar dan negara juga melaporkan peningkatan kemasukan ke hospital dan katil untuk rawatan intensif," ujarnya.

Pada masa yang sama katanya, rakyat juga diingatkan situasi ini adalah tidak menentu.

Setiap negara memberi tindak balas yang berbeza, katanya.

"Hampir 70 peratus daripada semua kes yang dilaporkan di seluruh dunia minggu lalu adalah dari 10 negara, dan hampir separuh dari semua kes hanya dari tiga negara," tambahnya lagi.

Sehingga Ahad, jumlah kes COVID-19 yang disahkan di seluruh dunia melepasi 37.1 juta, sementara jumlah kematian melebihi 1.07 juta.

Amerika Syarikat kekal sebagai negara yang paling teruk dilanda pandemik itu dengan jumlah kes dan kematian tertinggi, diikuti India dan Brazil.