Skip to main content

Dunia

SMART tiba di Trishuli Bazar selepas hampir enam jam perjalanan

Nadma
Perjalanan sejauh kira-kira 70 kilometer dari Kathmandu terpaksa mengambil masa hampir enam jam berikutan laluan sukar dan kerosakan teruk pada jalan raya akibat bencana. - Foto: NADMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) MAS-01 tiba di Trishuli Bazar, Nepal selepas hampir enam jam perjalanan bagi melaksanakan misi Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR) di kawasan terjejas bencana.

Pasukan itu tiba kira-kira pukul 4 petang waktu tempatan (6.15 petang waktu Malaysia).

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, perjalanan sejauh kira-kira 70 kilometer (km) dari Kathmandu yang sepatutnya mengambil masa sekitar tiga jam terpaksa mengambil masa hampir enam jam berikutan laluan sukar dan kerosakan teruk pada jalan raya akibat bencana.

“Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa tiga jam bertambah hampir tiga jam lagi kerana keadaan laluan yang sukar, selain banyak jalan rosak akibat bencana,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Isnin.

Meor Ismail berkata, setibanya di Trishuli Bazar, pasukan SMART menjadikan sebuah kem tentera sebagai Base of Operations (BoO) bagi menyelaras gerak kerja dan penugasan operasi mencari serta menyelamat.

Pasukan Tentera Nepal menerajui operasi pengurusan bencana di kawasan terjejas, manakala SMART akan melaksanakan tugasan mencari dan menyelamat mengikut keperluan di lapangan.

Pada Sabtu lalu, 11 pegawai dan anggota SMART berlepas ke Nepal menaiki pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Subang, kira-kira pukul 9 pagi.

Pasukan itu turut membawa peralatan mencari dan menyelamat (SAR) bagi menyokong operasi di kawasan terjejas.

Setakat ini, lebih 5,000 individu masih dilaporkan hilang, manakala hampir 1,300 lagi disahkan terkorban dalam bencana berkenaan.

Daripada jumlah yang masih hilang itu, 55 individu adalah rakyat Malaysia. 

Must Watch Video

Advertisement