BAITULMUQADDIS: Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich mendesak kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu meluluskan pembinaan tiga penempatan haram baharu di sepanjang pagar sempadan utara Semenanjung Gaza, lapor Al Jazeera.
Menerusi satu kenyataan di platform X hari ini, Smotrich yang turut mengetuai Pentadbiran Penempatan Israel berkata rejim itu kini sedang bersiap sedia untuk kembali menduduki semula wilayah yang dikosongkan sebelum ini di atas tanah rampasan milik warga Palestin di Semenanjung Gaza.
היום, י״ח באב, אנחנו מציינים 21 שנה לגירוש הנורא מיישובי צפון השומרון.
השנה, לראשונה, אנחנו מגיעים אל התאריך הזה בראש מורם. חזרנו הביתה, לחומש, לשא-נור, ולגנים וכדים שנבנים בימים אלו.
לא נסתפק בתיקון פשע העקירה. לצד ארבעת היישובים אליהם אנו שבים, נקים שורה ארוכה של יישובים… pic.twitter.com/lQl9jwboFA— בצלאל סמוטריץ' (@bezalelsm) August 1, 2026
Beliau mendakwa pihak Israel bukan sahaja akan membina semula penempatan yang telah dirobohkan sejak tahun 2005, malah merancang untuk mendirikan zon penampang perumahan haram yang lebih luas di dalam wilayah berkenaan.
Smotrich secara terbuka meminta lampu hijau daripada Netanyahu sekali gus menegaskan bahawa agensi di bawah pimpinannya sudah bersedia sepenuhnya untuk memulakan projek pembinaan di sektor utara Gaza terbabit sebaik sahaja arahan rasmi dikeluarkan.
Tindakan agresif ini dilihat sengaja melanggar pelan pengunduran sepihak yang dilaksanakan oleh kerajaan mantan Perdana Menteri Ariel Sharon pada tahun 2005, yang mana ketika itu menyaksikan semua kem tentera dan kawasan penempatan Israel di Gaza dikosongkan sepenuhnya.
Langkah terbaharu ini dijangka mencetuskan semula gelora ketegangan dan peningkatan konflik di Asia Barat, di tengah-tengah usaha antarabangsa yang sedang giat dijalankan bagi mencari jalan penyelesaian damai berhubung isu penubuhan negara Palestin yang merdeka.