Somalia pulangkan semula bekalan bantuan WFP di tengah-tengah penggantungan bantuan AS

Kerajaan Somalia mengambil tanggungjawab penuh untuk menangani situasi malang itu dan menzahirkan rasa kesal akibat kejadian berkenaan. - AP
MOGADISHU (Somalia): Somalia mengumumkan bahawa semua bekalan bantuan Program Makanan Sedunia (WFP) yang terjejas akibat projek peluasan pelabuhan di Mogadishu telah dipulangkan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan mengambil tanggungjawab penuh untuk menangani "situasi malang ini dan menzahirkan rasa kesal akibat kejadian itu."
Menurut kenyataan itu, bagi memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan dapat diteruskan secara selamat dan tanpa gangguan, kerajaan menyediakan kepada WFP sebuah gudang yang lebih besar dan lebih sesuai dalam kawasan Pelabuhan Mogadishu, sekali gus menyokong peningkatan kapasiti penyimpanan serta pengagihan yang lebih cekap.
"Walaupun Kerajaan Persekutuan mengekalkan komunikasi yang konsisten dan membina dengan Program Makanan Sedunia selama bertahun-tahun berkaitan perkara operasi dan logistik, ia mengakui kepentingan untuk terus memperkukuh penyelarasan dan perkongsian maklumat dengan penderma antarabangsa," menurut kenyataan bertarikh 26 Jan itu yang dikongsi di media sosial pada Selasa.
Mogadishu memaklumkan bahawa ia akan mengkaji semula keadaan berkaitan perkara itu dan kekal komited sepenuhnya terhadap prinsip kemanusiaan, ketelusan dan kebertanggungjawaban, selain menghargai kerjasama rapatnya dengan WFP, Amerika Syarikat (AS) dan komuniti penderma antarabangsa.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan keputusan AS menggantung program bantuan, dengan mendakwa pegawai Somalia memusnahkan sebuah gudang WFP yang dibiayai AS serta merampas secara haram 76 tan bekalan makanan yang dibiayai penderma dan diperuntukkan kepada rakyat Somalia yang memerlukan.
"Sebarang penyambungan semula bantuan akan bergantung kepada Kerajaan Persekutuan Somalia untuk bertanggungjawab atas tindakan yang tidak boleh diterima itu dan mengambil langkah pembetulan yang sewajarnya," menurut Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan awal bulan ini.
Negara di Tanduk Afrika itu sedang berdepan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing akibat kemarau berpanjangan, konflik serta wabak penyakit yang berulang.
Pada 2026, dianggarkan 4.8 juta orang memerlukan bantuan kemanusiaan iaitu penurunan sebanyak 20 peratus berbanding 2025, yang mencerminkan penetapan keperluan yang lebih ketat dan bukannya keadaan yang bertambah baik, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Somalia, PBB dan rakan kemanusiaan pada Isnin melancarkan Pelan Keperluan dan Tindak Balas Kemanusiaan 2026, yang memerlukan US$852 juta bagi membantu 2.4 juta orang yang memerlukan bantuan kemanusiaan dan perlindungan bagi menyelamatkan nyawa di negara Afrika Timur itu.
--BERNAMA-ANADOLU
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


