KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026, yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Jun depan.
Pengerusi MPPN, Mohd Khair Ngadiron berkata pindaan tersebut merupakan satu reformasi penting dalam usaha memperkukuh kerangka perlindungan pengguna khususnya dalam sektor kredit pengguna di negara ini.
Advertisement
Beliau berkata pindaan itu dijangka memberi manfaat besar kepada pengguna melalui pemansuhan penggunaan kadar faedah tetap sama rata dan kaedah Rule of 78, yang sebelum ini digunakan dalam pengiraan pinjaman sewa beli.
"Pendekatan baharu yang menggantikan kaedah tersebut kepada Kadar Faedah Efektif dan Kaedah Pengurangan Baki akan memastikan pengiraan faedah yang lebih telus, adil serta mencerminkan baki pinjaman sebenar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Ahad, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan, Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 akan berkuat kuasa lebih awal iaitu pada 1 Jun 2026, sebagai langkah memperkukuh perlindungan pengguna serta mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus dan adil.
Jelas beliau, pindaan tersebut merupakan antara fokus utama agenda gerakan kepenggunaan tahun ini yang memberi penekanan kepada reformasi undang-undang berkaitan hak dan kepentingan pengguna.
Mengulas lanjut, Mohd Khair berkata kaedah baharu itu juga memberi kelebihan kepada pengguna yang ingin membuat penyelesaian awal pinjaman kerana pengiraan faedah akan dibuat berdasarkan baki pinjaman sebenar dan bukannya kadar tetap sepanjang tempoh pinjaman.
Dalam pada itu, beliau menambah MPPN turut menyokong usaha pemodenan proses perjanjian sewa beli melalui penggunaan teknologi seperti tandatangan digital dan tandatangan elektronik.
Beliau berkata langkah itu dijangka meningkatkan kecekapan proses perjanjian selain membantu mengurangkan risiko penipuan menerusi mekanisme pengesahan identiti peminjam yang lebih selamat.
MPPN turut berpandangan bahawa sekiranya keadaan industri mengizinkan, penguatkuasaan akta berkenaan lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan wajar dipertimbangkan bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat reformasi tersebut dengan lebih segera.
"Ini khususnya dari segi ketelusan pengiraan faedah serta keadilan dalam penyelesaian awal pinjaman," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata MPPN mengambil maklum bahawa tempoh peralihan diberikan kepada pihak industri bagi membolehkan mereka menyesuaikan sistem, dokumentasi dan proses operasi selaras dengan keperluan baharu yang diperkenalkan.
Dalam perkembangan lain, MPPN turut mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan perkembangan konflik di Asia Barat yang melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran.
Mohd Khair berkata ketidaktentuan geopolitik tersebut berpotensi memberi tekanan kepada harga komoditi global, rantaian bekalan serta kos sara hidup yang akhirnya memberi kesan langsung kepada kesejahteraan pengguna.
Sehubungan itu, katanya, MPPN menegaskan kepentingan pemantauan harga dan amalan perniagaan yang beretika selain menyeru pengguna supaya menjadi lebih bijak, peka terhadap hak mereka serta berhemah dalam membuat keputusan perbelanjaan.