Skip to main content

Malaysia

Penyata pemisahan AG, Pendakwa Raya disasar dimuktamad pertengahan Mei - Azalina

KUALA LUMPUR, 28 Jan -– Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika sidang media pada Konvensyen Mengenai Keadilan Jenayah Dan Pembaharuan Undang-Undang, Keadilan Jenayah Dalam Zaman Baharu di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Azalina (foto) berkata jawatankuasa itu juga akan meneliti keseluruhan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan termasuk peruntukan melibatkan Perkara 42, 132, 138 dan 145 serta cadangan peruntukan baharu Perkara 145A dan 145B. -Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat menyasarkan untuk memuktamadkan penyata cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya menjelang pertengahan Mei.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata jawatankuasa itu telah menetapkan beberapa siri mesyuarat susulan bagi memperhalusi cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung perkara berkenaan sebelum ia dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat Jun ini.

Advertisement

Beliau berkata mesyuarat jawatankuasa seterusnya dijadualkan pada 9, 16 dan 27 April serta 4 Mei dengan sasaran memuktamadkan penyata pada 18 Mei.

“Mesyuarat hari ini turut bersetuju menjemput empat pakar akademik dalam bidang perundangan dan perlembagaan bagi memberikan pandangan terhadap cadangan pindaan tersebut… selain itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan dijemput mengemukakan pandangan secara bertulis termasuk bantahan, cadangan, kritikan dan pilihan alternatif berhubung perkara itu.

"Kita berhasrat mendapatkan input sebanyak mungkin daripada NGO yang menunjukkan minat terhadap isu perlembagaan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan di Parlimen hari ini.

Azalina berkata perbincangan awal menunjukkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bersetuju bahawa pemisahan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya diperlukan.

Bagaimanapun, beliau berkata beberapa isu memerlukan penelitian lebih mendalam bagi memastikan persetujuan bersama dapat dicapai sebelum pindaan itu dibentangkan di Parlimen.

Antara parameter utama yang dibincang ialah mekanisme pelantikan, syarat dan kelayakan termasuk larangan, tempoh jawatan dan had umur, mekanisme penamatan serta akauntabiliti institusi.

Azalina berkata jawatankuasa itu juga akan meneliti keseluruhan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan termasuk peruntukan melibatkan Perkara 42, 132, 138 dan 145 serta cadangan peruntukan baharu Perkara 145A dan 145B.

Mengulas kebimbangan yang dibangkitkan oleh beberapa Ahli Parlimen PKR berhubung peranan Parlimen dalam proses pelantikan, beliau menyifatkan ia sebagai sebahagian daripada perbincangan lebih luas mengenai cadangan reformasi itu.

Ditanya sebab sesi libat urus dan rundingan hanya diadakan selepas RUU itu dibentang, Azalina berkata pendekatan tersebut diambil bagi memastikan proses berkenaan dikendali melalui mekanisme Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Beliau berkata walaupun pindaan itu dilihat terhad dari segi jumlah peruntukan Perlembagaan yang terlibat, RUU tersebut bersifat sangat teknikal dan memerlukan penelitian rapi.

Azalina berkata kerajaan membenarkan proses jawatankuasa itu berjalan bagi memastikan konsensus lebih luas dapat dicapai.

Beliau turut menyifatkan cadangan pemisahan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebagai suatu reformasi institusi yang bersejarah.

Menyentuh mengenai sama ada Peguam Negara boleh dipanggil ke Parlimen pada masa hadapan, Azalina berkata masih terlalu awal untuk memberikan kenyataan terperinci namun Peguam Negara, sebagai penasihat undang-undang kerajaan, boleh hadir di Parlimen.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video