Skip to main content

Dunia

Songkran kurang meriah, krisis tenaga jejas pelancongan

BANGKOK, 5 April (Bernama) — Musim perayaan utama Thailand berdepan tekanan berikutan krisis tenaga global yang mengurangkan ketibaan pelancong serta permintaan perjalanan sempena perayaan Songkran 2026.
Cuti Songkran berlangsung tahun ini dengan latar belakang kenaikan harga minyak dan ketegangan geopolitik. - Foto BERNAMA

BANGKOK: Musim perayaan utama Thailand berdepan tekanan susulan krisis tenaga global mengurangkan ketibaan pelancong dan permintaan perjalanan semasa perayaan Songkran 2026.

Secara tradisinya disertai dengan kedatangan pelancong besar-besaran dan festival air yang meriah, cuti Songkran berlangsung tahun ini dengan latar belakang kenaikan harga minyak dan ketegangan geopolitik, menimbulkan kebimbangan pada seluruh sektor pelancongan.

Advertisement

Pelancong Malaysia, yang biasanya memenuhi wilayah selatan Thailand ketika perayaan, menunjukkan permintaan yang lebih lemah tahun ini, dengan tempahan hotel dilaporkan menjadi lebih perlahan berikutan krisis tenaga global.

Presiden Persatuan Hotel Hatyai-Songkhla Dr Sittipong Sittiprapha berkata tempahan hotel telah merosot lebih 50 peratus dalam tempoh Songkran dari 10 hingga 13 April.

“Kami dimaklumkan ramai pengusaha pelancongan telah membatalkan perjalanan ke Thailand kerana kebimbangan kekurangan bahan api,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau berkata berikutan krisis banjir yang melanda Hatyai dan Songkhla tahun lepas, pengusaha pelancongan telah bersiap sedia secara meluas untuk mengalu-alukan pengunjung ke Songkran, yang biasanya ialah musim puncak.

Bagaimanapun Sittipong berkata walaupun terdapat pelbagai aktiviti promosi, banyak hotel mencatatkan kadar penginapan di bawah 50 peratus bagi tempoh perayaan.

"Ini adalah petanda yang membimbangkan bagi pelancongan di selatan Thailand. Tahun lepas, kira-kira 30,000 bilik telah ditempah beberapa bulan sebelum Songkran, tetapi tahun ini hanya sekitar 15,000 bilik telah ditempah," katanya.

Sementara itu, Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) Thapanee Kiatphaibool berkata penilaian situasi pelancongan pada Mac 2026 menunjukkan kelembapan dalam ketibaan dari pasaran jarak jauh terutamanya dari Asia Barat.

Beliau berkata TAT sedang melaraskan strategi promosinya dengan memberi tumpuan kepada pasaran jarak dekat dan menggalakkan pilihan perjalanan tenaga rendah dalam ketidaktentuan global yang berterusan.

“TAT memberikan penekanan lebih besar kepada pelancong dari pasaran jarak dekat seperti China, Malaysia dan India, yang kekal sebagai sumber besar dan berpotensi tinggi.

“China, khususnya, mencatatkan pertumbuhan ketara sebanyak 38 peratus pada Mac 2026 berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

Beliau menambah kesan konflik dicerminkan menerusi kapasiti terhad tempat duduk syarikat penerbangan dan peningkatan kos pengangkutan.

Krisis itu, yang dicetuskan oleh gangguan terhadap laluan bekalan minyak global di Asia Barat, telah mendorong harga minyak mentah melonjak melebihi AS$100 setong, dengan ketara meningkatkan kos bahan api di seluruh dunia.

Di Thailand, harga diesel naik secara mendadak dalam beberapa minggu kebelakangan ini, menyebabkan pertambahan kos pengangkutan dan operasi pada seluruh industri pelancongan.

 Susulan jangkaan prospek yang semakin teruk, kerajaan telah mengkaji semula sasaran ketibaan pelancong asing 2026 kepada sekitar 32.14 juta, turun daripada unjuran awal kira-kira 36.7 juta, kerana kos perjalanan yang lebih tinggi dan ketidaktentuan ekonomi mempengaruhi permintaan global.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video