COLOMBO: Kerajaan Sri Lanka sedang merangka undang-undang bagi membolehkan mahkamah meletakkan suspek di bawah tahanan rumah berbanding reman dalam tahanan, sebagai usaha menangani masalah kesesakan teruk di penjara, menurut seorang pegawai kanan, lapor Xinhua.
Menteri Kehakiman dan Integrasi Nasional Harshana Nanayakkara berkata pada Khamis penjara di Sri Lanka yang dibina untuk menempatkan kira-kira 10,500 banduan kini menahan hampir 39,000 orang.
Advertisement
Beliau berkata tahanan reman adalah punca utama masalah itu, dengan kira-kira 28,000 tahanan kini berada dalam tahanan reman, termasuk kira-kira 20,000 individu yang ditahan kerana kesalahan berkaitan dadah.
Menurutnya, rang undang-undang yang dicadangkan itu akan memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengenakan tahanan rumah dalam kes yang sesuai, sebagai ganti menghantar suspek ke penjara, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan dalam sistem penjara.
Nanayakkara turut memaklumkan yang Sri Lanka tidak mempunyai mekanisme berstruktur untuk mengkaji semula atau mengurangkan hukuman bagi banduan yang menjalani hukuman penjara seumur hidup atau berdepan hukuman mati.
Beliau berkata kerajaan melantik sebuah jawatankuasa bagi meneliti kemungkinan memperkenalkan rangka kerja pengurangan hukuman untuk banduan jangka panjang.
-- BERNAMA-XINHUA