SINGAPURA: Seramai 22,000 penjawat awam yang layak di Singapura akan menerima kenaikan gaji antara dua hingga sembilan peratus bermula 1 Ogos ini, menurut Bahagian Perkhidmatan Awam (PSD).
Dalam satu kenyataan, PSD memaklumkan pelarasan gaji itu akan melibatkan pegawai dalam skim eksekutif pengurusan, sokongan teknikal, sokongan pengurusan, sokongan korporat dan skim sokongan operasi, serta skim lain yang berkaitan.
Advertisement
"Pelarasan ini adalah untuk seiring dengan piawaian pasaran dan membolehkan perkhidmatan awam terus menarik serta mengekalkan bakat bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Singapura, di tengah-tengah tuntutan yang sentiasa berubah dan persekitaran global yang semakin kompleks.
"Pegawai dalam skim di atas menjalankan pelbagai peranan seperti dasar dan perancangan, pentadbiran serta operasi," menurut kenyataan itu.
Perkhidmatan Awam Singapura akan menyemak gaji secara berkala dan melaraskannya apabila perlu bagi memastikan ia secara umumnya seiring dengan pasaran.
Kali terakhir skim perkhidmatan awam yang terlibat menerima semakan gaji, ialah pada 2022 dan sejak itu paras gaji dalam pasaran telah meningkat.
"Perkhidmatan Awam juga akan terus memperkukuh ganjaran berasaskan prestasi dan mempertingkatkan usaha untuk menyediakan peluang dan perkembangan kerjaya yang bermakna kepada pegawai," katanya.
-- BERNAMA