Skip to main content

Dunia

Status quo Al-Aqsa semakin terancam, kata pegawai waqaf

AL AQSA
Status quo sejarah di Masjid Al-Aqsa semakin merosot dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, berikutan sekatan yang semakin ketat ke atas umat Islam dan cabaran yang kian bertambah terhadap aturan lama yang mengurus tapak suci berkenaan. - Gambar fail/ Reuters
Advertisement

KUALA LUMPUR: Status quo sejarah di Masjid Al-Aqsa semakin merosot dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, berikutan sekatan yang semakin ketat ke atas umat Islam dan cabaran yang kian bertambah terhadap aturan lama yang mengurus tapak suci berkenaan.

Timbalan Pengerusi Majlis Waqaf Islam di Baitulmuqaddis, Dr Mustafa Abu Sway berkata, pasukan keselamatan Israel dilihat menghalang orang ramai saban hari, termasuk golongan muda, wanita, dan kadangkala warga emas, sekali gus merampas hak mereka untuk berada di masjid itu.

"Jadi tiada kebebasan bergerak, tiada kebebasan beribadat, secara hakikatnya, di Masjid Al-Aqsa," katanya semasa wawancara video secara langsung dari Masjid Al-Aqsa dan Kubah As-Sakhrah menerusi program Bernama World terbitan Bernama TV, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika mengupas topik "Palestine Beyond The Headlines: Protecting The Sanctity And Future Of Al-Aqsa Mosque."

Abu Sway dilantik sebagai pemegang Kerusi Integral pertama bagi Pengajian Karya Imam Ghazali di Masjid Al-Aqsa dan Universiti Al-Quds pada 2012.

Selain Majlis Waqaf Islam di Baitulmuqaddis, beliau juga merupakan ahli Dana Bani Hashim bagi Pemuliharaan Masjid Al-Aqsa dan Kubah As-Sakhrah.

Beliau berkata, status quo sejarah yang ditetapkan menerusi dekri Uthmaniyyah pada abad ke-19, membenarkan umat Islam beribadat di Al-Aqsa, manakala penganut agama lain boleh melawat di bawah pentadbiran Wakaf Islam, yang merupakan sebahagian daripada Kementerian Wakaf Jordan.

Beliau berkata, aturan berkenaan semakin dicabar sejak tahun 2000, apabila pemimpin pembangkang Israel ketika itu, Ariel Sharon, melakukan kunjungan provokatif ke Al-Aqsa diiringi pasukan keselamatan. 

Abu Sway berkata, kunjungan itu mencetuskan intifada (kebangkitan) kedua oleh rakyat Palestin.

"Secara perlahan-lahan, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, di bawah kepimpinan Ben-Gvir, Menteri Keselamatan Nasional Israel, beliau telah mengubah keadaan dengan membenarkan peneroka beribadat.

"Malah, bahagian tertentu di masjid itu tidak dibenarkan untuk dimasuki umat Islam semasa pencerobohan mereka," katanya.

Abu Sway berkata, perkembangan itu menimbulkan "cabaran dan risiko besar" kepada status quo sejarah masjid berkenaan.

"Pemimpin politik berkenaan, setiap kali mereka mahu meningkatkan sokongan di peti undi, mereka sama ada melakukan atau menyatakan sesuatu yang tidak bertanggungjawab mengenai Masjid Al-Aqsa, dan inilah punca peningkatan elemen pelampau yang menceroboh ke dalam Masjid Al-Aqsa.

"Tiada pengiktirafan terhadap Masjid Al-Aqsa dalam naratif mereka. Jadi, apabila mereka mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Tinggi Israel, tiada sebarang sebutan mengenai Masjid Al-Aqsa langsung. Mereka hanya bercakap mengenai ‘Temple Mount’. Jadi, ini adalah isu yang sangat serius dan boleh mencetuskan konflik yang melangkaui rantau ini," katanya.

Abu Sway berkata, Al-Aqsa adalah sebahagian daripada akidah dan identiti umat Islam di seluruh dunia, termasuk di Asia Tenggara. 

Ia berkait rapat dengan peristiwa Isra' Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Baitulmuqaddis. 

Di Baitulmuqaddis, baginda mengimami para nabi lain dalam solat di masjid berkenaan.

"Keseluruhan Kompleks Al-Aqsa adalah sebahagian daripada Masjid Al-Aqsa dan bukannya satu bangunan khusus. 

"Negara dan negeri Muslim mempunyai peranan serta tanggungjawab untuk menyokong Jordan pada forum antarabangsa berkaitan, dan kami fikir Malaysia merupakan sebuah negara penting yang boleh memainkan peranan penting dalam pemeliharaan Al-Aqsa,” katanya.

Mengenai peranan Jordan sebagai penjaga kepada tapak suci Muslim dan Kristian di Baitulmuqaddis, Abu Sway berkata, apa yang diperlukan ialah pengiktirafan antarabangsa yang meluas di atas peranan Jordan itu.

“Apa yang diperlukan ialah kita perlukan seluruh dunia Arab dan Muslim, malah masyarakat antarabangsa untuk mengiktiraf penjagaan tapak suci itu yang dilakukan Jordan, dan kami ingin melihat peranan lebih aktif yang dimainkan oleh negara Arab dan Muslim serta negara sahabat untuk keamanan dan kestabilan,” katanya.  

Beliau juga menyeru menteri-menteri luar dan pemimpin-pemimpin utama untuk bercakap mengenai Masjid Al-Aqsa, bagi menghentikan pencerobohan ini dan menyelaras dengan Jordan untuk langkah seterusnya.    

Mengenai situasi secara keseluruhan, Abu Sway berkata, usaha mengakhiri pendudukan dan kembali kepada penyelesaian dua negara memerlukan pelan tindakan utama yang serius, sambil menegaskan bahawa tiada keamanan boleh dicapai tanpa pengiktirafan terhadap hak keagamaan, sejarah, dan politik rakyat Palestin.

-- BERNAMA  

 

Must Watch Video

Advertisement