Sepasang suami isteri berusia dalam lingkungan 40-an maut ditembak oleh penyerang tidak dikenali di kedai binaan milik mereka di wilayah bergolak ini pada Isnin.

Pemangku Ketua Polis Pattani Kol Piyawat Chalermsi berkata, kejadian pada kira-kira 3 petang (waktu tempatan) mengorbankan Somprasong Jindamaneepol dan isterinya, Tassanee.

"Pihak berkuasa percaya dua suspek yang menyamar sebagai pembeli memasuki kedai tersebut dan menembak mangsa daripada jarak dekat," katanya di sini.

Menurutnya, dalam kejadian tembakan itu, anak saudara pasangan suami isteri itu, Yupdee Se-wong berusia dalam lingkungan 20-an cedera parah.

Yupdee telah dihantar ke Hospital Nongchik sebelum dipindahkan ke Hospital Wilayah Pattani, katanya dan menambah polis sedang menyiasat motif pembunuhan itu.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, sebutir bom yang menyasarkan sebuah kenderaan membawa anggota renjer meletup tetapi tidak mencederakan anggota pasukan keselamatan itu.

Kejadian yang menyebabkan kenderaan tentera itu rosak teruk berlaku di Mukim Klongmai, daerah Yarang kira-kira 9.30 pagi tadi (waktu tempatan), menurut jurucakap pasukan keselamatan. - Bernama