JASIN: Polis akan menggerakkan lebih 600 anggota bagi memastikan keselamatan dan kelancaran proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini, khususnya di kawasan Parlimen Jasin.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 200 anggota adalah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, manakala selebihnya merupakan bantuan daripada luar termasuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Menurutnya, persiapan rapi termasuk latihan dalam perkhidmatan telah dilaksanakan bagi memastikan semua anggota bersedia menghadapi hari pengundian.
“IPD Jasin telah membuat persiapan dan latihan dalam perkhidmatan pun telah dibuat sebelum ini. Kita berharap pada 14 November nanti semua proses akan berjalan dengan lancar dan teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses pengundian awal di IPD Jasin, pada Selasa.
Mengulas proses pengundian awal, Lee berkata seramai 309 anggota dan pegawai polis di IPD Jasin serta 20 anggota di Balai Polis Merlimau layak menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Katanya, proses pengundian awal di kedua-dua lokasi berkenaan berjalan lancar.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan cuti anggota polis telah dibekukan bagi memastikan kekuatan anggota mencukupi sepanjang hari pengundian.
Mengulas aspek keselamatan sepanjang tempoh kempen, Lee berkata pihaknya mengenal pasti satu kawasan tumpuan atau hotspot di DUN Bemban yang akan diberi perhatian.
Bagaimanapun, keadaan di kawasan Merlimau setakat ini dilaporkan aman dan terkawal.
Beliau turut mengesahkan hanya satu laporan polis diterima di daerah Jasin sepanjang tempoh kempen, membabitkan isu sumbangan oleh calon DUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau lebih dikenali sebagai Dira Abu Zahar.
Seramai 2,445 anggota polis terlibat dalam proses pengundian awal dan sebanyak 12 pusat pengundian awal khusus bagi anggota polis disediakan di seluruh negeri