Sambutan tahun baru di Hong Kong mencatat sejarahnya tersendiri.

Ini apabila kerajaannya mempersembahkan pesta bunga api dan cahaya terbesar yang menelan belanja 1.6 juta Dolar Amerika.

Pesta bunga api besar-besaran itu mendapat perhatian sehingga kira-kira 100,000 warga Hong Kong.

Ia susulan ramalan pakar Feng Shui yang menjangkakan 2013 akan jadi kurang menyerlah berbanding 2012.

Salah seorang pakar Feng Shui, Raymond Lo berkata, sambutan Tahun Baru Cina pada 2013 akan jatuh pada tahun Ular.

Ia sekaligus menamatkan kegemilangan tahun Naga yang membawa banyak kejayaan besar.

Bagaimanapun pentadbiran Hong Kong percaya, ekonominya akan terus berkembang maju.

Para pemimpinnya tetap yakin isu ekonomi dunia tidak akan menjejaskan perkembangan ekonomi Hong Kong.

Malah kebuntuan Amerika Syarikat dalam mencari jalan penyelesaian bagi menghadapi isu tebing fiskal serta kelembapan ekonomi Eropah tidak akan membawa apa-apa kesan memandangkan ekonomi Hong Kong yang mempunyai kekuatan tersendiri.


Ini termasuk Myanmar yang buat pertama kalinya mengadakan sambutan tahun baru selepas lima dekad berada di bawah pemerintahan rejim tentera.


Bagi warga Yangon, hampir 90 ribu berhimpun di tengah bandar raya itu bagi meraikan sambutan tahun baru yang pertama kali diadakan dalam tempoh hampir 50 tahun.

Sebelum ini pentadbiran Junta Tentera Myanmar menghalang semua rakyatnya mengadakan sebarang perhimpunan.

Bagaimanapun pendekatan keras itu mula lenyap selepas negara itu berusaha keras menuju kepada sistem pemerintahan demokrasi.


Di Shanghai, sambutan tahun barunya lebih meriah dengan lagu tema ‘Gangnam Style’.

Lagu popular itu dijadikan muzik latar sepanjang persembahan bunga api diadakan.

Sementara itu di Taiwan tumpuan utama rakyatnya adalah di bangunan setinggi 101 tingkat di Taipei yang menjadi kebanggaan negara itu.

Persembahan bungan apinya juga tidak kurang memukau dengan pelbagai formasi yang menunjukkan kehebatan dan kecantikan seni bina bangunan tersebut.

Dalam pada itu, sambutan tahun baru di Korea Selatan tetap meriah walaupun ia berlangsung dalam cuaca sejuk.

Ia dihadiri pelbagai lapisan masyarakat yang berpusu-pusu mahu menyaksikan pelbagai persembahan menarik.

Sementara itu, kemeriahan sambutan tahun baru turut dirasai di Pyongyang.

Malah penduduknya berasa cukup terhibur kerana baru sahaja selesai mengadakan pesta tarian musim sejuk sempena ulang tahun kelahiran pemimpin agungnya, Kim Jong Un.

Di Beijing pula, persembahan utama mereka ialah pesta cahaya yang dianjurkan di istana musim panas.

Walaupun tidak diadakan secara besar-besaran ia tetap mendapat sambutan menggalakkan masyarakat yang mengharapkan 2013 membawa sinar dan harapan lebih baik buat mereka.

Bagi penduduk Jepun pula, mereka menyambut kehadiran tahun baru dengan berdoa dan mengunjungi kuil.

Malah sami-sami Buddha membunyikan loceng gergasi sehingga 108 kali bagi menyucikan segala dosa.

Dalam pada itu, beberapa bandar raya utama di Asia yang lain juga menyambut tahun baru 2013 dengan penuh kemeriahan.