Skip to main content

Dunia

Sudan isytihar wabak kolera berakhir selepas 18 bulan

71756475397_sudankolera.jpg
Menurut statistik terdahulu, Sudan merekodkan lebih 100,000 kes di seluruh negara termasuk kira-kira 2,408 kematian antara Julai 2024 hingga 21 Dis 2025. - Gambar hiasan

KHARTOUM: Kementerian Kesihatan Sudan pada Rabu secara rasmi mengisytiharkan negara itu bebas daripada wabak kolera selepas memenuhi piawaian saintifik serta Peraturan Kesihatan Antarabangsa susulan penularan wabak berkenaan selama 18 bulan.

“Sejak 14 Jan lepas, tiada kes direkodkan di mana-mana negeri. Berdasarkan data saintifik dan Peraturan Kesihatan Antarabangsa, Sudan kini bebas daripada wabak kolera,” kata Ketua Direktorat Kecemasan Kesihatan dan Kawalan Wabak kementerian itu, Montasir Mohamed Osman kepada Xinhua.

Advertisement

Osman menjelaskan, kriteria ketat untuk mengisytiharkan tamatnya penularan kolera termasuk dua tempoh pengeraman penuh tanpa kes baharu, pemberhentian penularan tempatan yang disahkan, tiada rantaian jangkitan aktif serta tiada lagi kawasan panas jangkitan baharu dalam komuniti atau penyebaran geografi.

“Kami boleh mengesahkan bahawa Sudan bebas daripada wabak itu, kecuali sekiranya terdapat kes yang datang dari luar negara,” tambah beliau.

Kementerian Kesihatan menjalankan usaha pembendungan secara meluas termasuk memberikan 20 juta dos vaksin, melaksanakan kira-kira 100 kempen perubatan serta mengadakan 130 mesyuarat bilik kecemasan pusat bagi memantau situasi epidemiologi, kata Osman.

Sudan pertama kali mengumumkan penularan wabak kolera pada Ogos 2024. 

Menurut statistik terdahulu, negara itu merekodkan lebih 100,000 kes di seluruh negara termasuk kira-kira 2,408 kematian antara Julai 2024 hingga 21 Dis 2025.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video