Suhu musim panas tinggi dorong lebih ramai lelaki di Tokyo guna payung - Tinjauan

Hampir separuh lelaki yang dikaji selidik secara dalam talian di Tokyo menggunakan payung di tengah-tengah suhu musim panas yang tinggi pada 2025, termasuk ramai yang menggunakannya buat kali pertama tahun ini. - Foto fail/REUTERS
TOKYO: Hampir separuh lelaki yang dikaji selidik secara dalam talian di Tokyo menggunakan payung di tengah-tengah suhu musim panas yang tinggi pada 2025, termasuk ramai yang menggunakannya buat kali pertama tahun ini - menunjukkan peningkatan haba telah mengikis tanggapan bahawa penggunaan payung hanya sinonim dengan golongan wanita, lapor Agensi Berita Kyodo.
Payung telah lama popular dalam kalangan wanita untuk melindungi kulit mereka daripada sinaran ultraungu. Bagaimanapun, tinjauan kerajaan metropolitan Tokyo menunjukkan bahawa sebahagian besar pengguna lelaki menyatakan mereka memutuskan untuk menggunakannya bagi kekal nyaman pada musim panas ini.
Tinjauan yang dijalankan pada September itu mendapati 44 peratus lelaki menggunakan payung tahun ini, berbanding 91 peratus wanita. Dalam kalangan pengguna lelaki, 44 peratus menggunakannya buat kali pertama pada 2025, 23 peratus telah menggunakannya sejak tahun lepas, manakala 13 peratus mula berbuat demikian sejak dua tahun lalu.
Dalam kalangan lelaki berusia 20-an dan 30-an, lebih separuh responden berkata mereka menggunakan payung tahun ini. Sebaliknya, kadar penggunaan paling rendah direkodkan dalam kalangan lelaki berusia 50-an iaitu sebanyak 39 peratus.Mengenai soalan sama ada mereka terganggu dengan pandangan orang sekeliling, 61 peratus lelaki yang menggunakan payung pada musim panas ini berkata pandangan orang ramai tidak memberi kesan kepada mereka, manakala 34 peratus berkata mereka berasa kurang terganggu daripada yang dijangkakan.
Tinjauan yang disasarkan kepada pengguna aplikasi bagi individu yang tinggal, bekerja atau belajar di Tokyo itu telah dijalankan selama kira-kira dua minggu pada September dengan maklum balas daripada sekitar 8,400 orang.
Kerajaan metropolitan Tokyo turut menemu bual 25 syarikat yang terlibat dalam bidang seperti pengeluaran dan penjualan payung. Empat syarikat melaporkan jualan payung untuk lelaki meningkat dua kali ganda atau lebih berbanding tahun sebelumnya.
Jepun merekodkan suhu tertinggi baharu 41.8 darjah Celsius di Isesaki, Wilayah Gunma, barat laut Tokyo, tahun ini. Dari Jun hingga Ogos, Agensi Meteorologi Jepun melaporkan suhu secara purata adalah 2.36 darjah Celsius lebih tinggi daripada biasa, yang tertinggi sejak rekod mula disimpan pada 1898.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami