BERLIN: Paras air Sungai Rhine, antara laluan perkapalan paling penting di Eropah, dilaporkan jatuh ke paras terendah dalam sejarah di beberapa lokasi di Jerman dan Belanda susulan gelombang haba berpanjangan yang terus melanda benua itu.
Minggu lalu, bacaan paras air di Cologne, barat Jerman, dan Lobith di sempadan Belanda mencatat rekod paling rendah sejak pemantauan bermula.
Keadaan sama turut menjejaskan beberapa sungai utama lain termasuk Sungai Danube dan Sungai Po di Itali.
Menurut Pemerhati Kemarau Kesatuan Eropah (EU), sebahagian besar kawasan Eropah masih berada dalam keadaan kemarau yang kritikal, manakala keadaan di wilayah tengah dan barat benua itu semakin meruncing sejak pertengahan Julai.
Dengan gelombang haba dijangka berterusan sekurang-kurangnya seminggu lagi, suhu di banyak negara Eropah tengah dan selatan dijangka melebihi 40 darjah Celsius.
Sistem Maklumat Paras Air Rendah Jerman (NIWIS) melaporkan 44 peratus stesen pemantauan di Sungai Rhine dan 78 peratus stesen di Sungai Danube merekodkan paras air yang amat rendah pada penghujung Julai.
Paras air yang semakin menyusut menimbulkan kebimbangan terhadap sektor pengangkutan dan perdagangan kerana kapal kargo terpaksa mengurangkan muatan untuk mengelakkan risiko terkandas.
Di Kaub, berhampiran Koblenz di barat Jerman, kedalaman laluan pelayaran mencecah hanya 25 sentimeter pada Jumaat lalu, menyamai rekod terendah yang dicatatkan pada 2018 sebelum meningkat sedikit beberapa hari kemudian.
Pihak Berkuasa Perkapalan dan Laluan Air Rhine memaklumkan perkapalan masih boleh diteruskan, namun syarikat pengangkutan mungkin perlu mengagihkan muatan kepada lebih banyak kapal, sekali gus meningkatkan kos operasi dan berpotensi menyebabkan gangguan bekalan.
Kemarau turut memberi kesan besar kepada Sungai Danube, dengan beberapa kawasan di Serbia dan Romania mencatat paras air terendah dalam tempoh 30 tahun.
Keadaan itu turut menjejaskan operasi sebuah loji tenaga nuklear di Hungary yang kini beroperasi pada kapasiti lebih rendah.
Di Serbia, pengeluaran elektrik daripada loji janakuasa arang batu dikurangkan akibat kekurangan air untuk sistem penyejukan.
Romania pula melaksanakan letupan terkawal di tebing Sungai Danube bagi meningkatkan aliran air ke loji tenaga nuklear Cernavoda.
Sementara itu, dua kilang automotif utama di Romania yang dikendalikan Dacia dan Ford bersetuju menghentikan operasi selama lebih dua minggu bagi mengurangkan penggunaan tenaga.
Di Itali, Sungai Po yang merupakan sungai terpanjang negara itu turut mencatat paras terendah bersejarah berhampiran bandar Cremona.
Pihak berkuasa telah menaikkan tahap amaran kemarau kepada “tinggi” di seluruh Lembah Po.
Pakar turut memberi amaran bahawa penurunan paras air membawa kemasukan air masin dari laut ke muara sungai, sekali gus menjejaskan ekosistem serta bekalan air untuk sektor pertanian.
Menurut para saintis, perubahan iklim yang didorong oleh aktiviti manusia meningkatkan kadar penyejatan akibat suhu yang lebih tinggi, sekali gus meningkatkan risiko kemarau walaupun trend taburan hujan jangka panjang di kebanyakan kawasan Eropah tidak menunjukkan perubahan ketara.
Kesatuan Eropah sebelum ini memaklumkan kemarau besar yang melanda benua itu pada 2022 turut menyumbang kepada peningkatan kebakaran hutan dan pelepasan karbon yang lebih tinggi daripada kebiasaan.