ARTIS terkenal K-pop, Jung Joon-young dilaporkan mempunyai kod bahasa rahsia yang hanya boleh difahami antara dia dan rakan-rakannya bagi mengelakkan perbualan mereka berkenaan sindiket dadah dihidu pihak polis.

Siasatan polis mendapati, isi perbualan artis berkenaan dengan rakan-rakannya dalam 'kumpulan rahsia' kedengaran sangat pelik dan sukar difahami.

Apa yang jelas, polis yakin bahawa terdapat maksud lain dalam perbualan berkenaan iaitu merujuk kepada jenis dadah.

Sebagai contoh, setiap ahli dalam 'kumpulan rahsia' itu menggunakan kod berbeza untuk pelbagai jenis ubat.

Daripada memanggilnya ekstasi, mereka menggunakan nama panggilan "gula-gula" sementara bagi dadah jenis ganja pula, kumpulan itu memanggilnya sbeagai "daging".

Selain itu, mereka juga menggunakan ‘sagi’ nama pendek ‘jusagi’ dalam bahasa Korea yang bermaksud "jarum" sebagai penyamaran untuk dadah yang disuntik melalui jarum suntik.

Bukan itu sahaja, ahli dalam aplikasi perbualan itu juga turut bertukar maklumat mengenai cara melepasi ujian saringan dadah.

Jung bersama rakan-rakan kumpulan itu turut bercerita tentang kaedah mewarnakan rambut bagi mengelakkan mereka daripada ditangkap dengan sebarang kesan dadah daripada folikel (organ mengasilkan rambut).

Dalam perbualan itu, mereka mendakwa mendapat suntikan intravenous (IV) kerana ia membantu dalam tempoh masa panjang contohnya untuk mengelakkan mereka sangkut dengan saringan ujian air kencing.

Terbaharu, syarikat penyiaran Korea Broadcasting System (KBS) telah mengambil tindakan untuk mengharamkan Jung Joon-young, Seungri dan Choi Jong Hoon daripada muncul di skrin televisyen selagi penyiasatan skandal mereka belum menemui penamatnya.