ISTANBUL: Suruhanjaya Eropah mendapati Meta Platforms melanggar Akta Perkhidmatan Digital (DSA) pada peringkat awal siasatan kerana gagal menghalang kanak-kanak di bawah umur 13 tahun daripada mengakses Instagram dan Facebook, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam satu kenyataan, suruhanjaya itu menyatakan yang Meta tidak mengambil langkah mencukupi untuk “mengenal pasti, menilai dan mengurangkan” risiko yang berkaitan dengan penggunaan platformnya oleh golongan bawah umur, walaupun peraturannya sendiri menetapkan umur minimum 13 tahun.
Advertisement
Badan eksekutif EU itu menegaskan yang langkah perlindungan sedia ada tidak berkesan, dengan menyatakan yang kanak-kanak boleh dengan mudah melanggar sekatan umur dengan memasukkan tarikh lahir palsu tanpa pengesahan yang sewajarnya.
Ia juga mengkritik alat pelaporan Meta, dengan menyatakan ia “sukar digunakan” dan gagal memastikan tindakan susulan apabila pengguna bawah umur dikenal pasti.
Suruhanjaya itu turut menyatakan yang penilaian risiko Meta adalah “tidak lengkap dan bersifat sewenang-wenangnya,” serta meremehkan skala isu itu walaupun terdapat bukti yang kira-kira 10 hingga 12 peratus kanak-kanak di bawah 13 tahun di EU mengakses Instagram atau Facebook.
Suruhanjaya itu mahu Meta menyemak semula metodologi penilaian risikonya dan memperkukuh langkah untuk mencegah, mengesan dan menyingkirkan pengguna bawah umur, sambil memastikan “tahap privasi, keselamatan dan perlindungan yang tinggi” untuk kanak-kanak.
Meta kini boleh memberi maklum balas terhadap dapatan awal itu dan mencadangkan langkah pembetulan.
Jika disahkan, suruhanjaya itu boleh mengeluarkan keputusan ketidakpatuhan dan mengenakan denda sehingga enam peratus daripada jumlah perolehan tahunan global syarikat.
Dapatan ini sebahagian siasatan berterusan yang dilancarkan pada Mei 2024 dan tidak menentukan keputusan muktamad.
-- BERNAMA-ANADOLU