Suruhanjaya EU buka siasatan terhadap sekatan Meta ke atas penyedia AI

Suruhanjaya Eropah melancarkan siasatan antitrust bagi meneliti sama ada dasar Meta yang menyekat akses kepada perkhidmatan pesanan WhatsApp untuk penyedia AI melanggar peraturan persaingan Kesatuan Eropah (EU). - Gambar fail/REUTERS
BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah pada Khamis melancarkan siasatan antitrust bagi meneliti sama ada dasar Meta yang menyekat akses kepada perkhidmatan pesanan WhatsApp untuk penyedia kecerdasan buatan (AI) melanggar peraturan persaingan Kesatuan Eropah (EU), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Suruhanjaya itu yang bertindak sebagai pengawas antitrust EU, berkata Meta mengumumkan pada Oktober bahawa ia akan melarang penyedia AI daripada menggunakan WhatsApp untuk berkomunikasi dengan pelanggan apabila AI menjadi perkhidmatan utama yang ditawarkan.
Di bawah dasar baharu itu, perniagaan masih dibenarkan menggunakan WhatsApp jika alat AI berkenaan menawarkan fungsi sokongan seperti perkhidmatan sokongan pelanggan automatik.
Siasatan EU itu dilancarkan berikutan kebimbangan bahawa sekatan baharu berkenaan mungkin menghalang penyedia AI daripada menawarkan perkhidmatan mereka melalui WhatsApp di Eropah, menurut suruhanjaya tersebut.
"Kita mesti memastikan rakyat dan perniagaan Eropah dapat mendapat manfaat sepenuhnya daripada revolusi teknologi ini dan bertindak untuk menghalang pengendali digital yang dominan daripada menyalahgunakan kuasa untuk menyingkirkan pesaing inovatif," kata Ketua Antitrust EU Teresa Ribera.
"Inilah sebabnya kami menyiasat sama ada dasar baharu Meta itu mungkin menyalahi undang-undang persaingan, dan sama ada tindakan segera perlu diambil untuk mengelakkan sebarang kemungkinan kemudaratan yang tidak dapat dipulihkan kepada persaingan dalam ruang AI," kata Naib Presiden Suruhanjaya Eropah itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


