HOUSTON: Seorang suspek ditahan dan didakwa atas pertuduhan membunuh ibu bapanya serta empat yang lain di negeri Texas Amerika Syarikat, menurut pihak berkuasa pada Rabu.

Shane James Jr, 34, disyaki menembak ibu bapanya dengan "pistol berkaliber besar" antara 10.00 malam Isnin (0400 GMT Selasa) dan 9.00 pagi Selasa (1500 GMT) di kawasan San Antonio, menurut Sherif Bexar County Javier Salazar di sidang akhbar pada petang Rabu.

Menurut Salazar, James mempunyai masalah kesihatan mental dan telah diberhentikan daripada pasukan tentera selepas insiden keganasan rumah tangga.

Empat lagi yang maut dan dua anggota polis ditembak di lokasi berbeza di Austin, kira-kira 80 batu (129 km) dari San Antonio pada Selasa, menurut polis.

Suspek ditahan selepas kereta yang dipandunya terbabit kemalangan semasa melarikan diri dalam kejadian berbalas tembak dengan polis.

Anggota polis turut mengalami "beberapa kesan tembakan", kata ketua polis sementara Austin Robin Henderson kepada pemberita pada Rabu.

Suspek dijangka kekal dalam tahanan sementara menunggu perbicaraan, kata Pejabat Peguam Daerah Travis dalam satu kenyataan pada Rabu.

-- BERNAMA