Skip to main content

Dunia

Suspek serangan Berlin Pride ditembak mati polis, disyaki bermotif ekstremisme

Police officers stand near a vehicle crashed into a tree after driving into a crowd near Berlin's annual Pride event, in Berlin, Germany, Sunday, July 26, 2026. (AP Photo/Markus Schreiber)
Anggota polis berkawal berhampiran sebuah kenderaan yang merempuh pokok selepas melanggar orang ramai berhampiran lokasi sambutan tahunan Berlin Pride di Berlin, Jerman. - Foto AP
Advertisement

BERLIN: Lelaki yang disyaki bertanggungjawab dalam serangan di acara Berlin Pride yang mengorbankan seorang wanita dan mencederakan sekurang-kurangnya 29 individu ditembak mati polis pada Ahad selepas menyerang anggota keselamatan dengan senjata tajam.

Polis Berlin memaklumkan suspek, Abdul Ballout, 21, seorang warga Jerman berketurunan Lubnan, dikesan di kawasan Spandau di barat Berlin selepas operasi memburunya selama hampir 24 jam.

Menurut pihak berkuasa, suspek bertindak meluru ke arah anggota polis sambil bersenjatakan pisau sebelum ditembak.

Usaha menyelamatkan nyawanya gagal dan dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ballout disyaki memandu sebuah van putih merempuh orang ramai berhampiran Taman Tiergarten pada malam Sabtu ketika sambutan Christopher Street Day atau Berlin Pride sedang berlangsung.

Selepas itu, beberapa mangsa turut dilaporkan cedera dalam serangan menggunakan senjata tajam sebelum suspek melarikan diri.

Menteri Dalam Negeri Jerman, Alexander Dobrindt, berkata siasatan awal menunjukkan serangan itu berkemungkinan merupakan serangan keganasan bermotifkan ekstremisme.

Beliau berkata suspek sebelum ini pernah menarik perhatian pihak berkuasa kerana rekod jenayah lampau, proses radikalisasi serta kaitan dengan kelompok ekstremis.

Menurut pihak pendakwa raya Berlin, Ballout pernah berusaha menyertai kumpulan Daesh di Syria.

Pada 2025, dia dilaporkan melakukan perjalanan ke Lubnan melalui Turkiye dan berhubung dengan individu yang dipercayainya mempunyai kaitan dengan Daesh sebelum ditahan pihak berkuasa Lubnan.

Selepas kembali ke Jerman pada penghujung 2025, dia ditahan dan kemudian dijatuhkan hukuman penjara satu tahun 10 bulan pada Mei lalu atas kesalahan merancang tindakan keganasan yang mengancam keselamatan negara.

Hukuman itu bagaimanapun digantung dan dia diletakkan di bawah pemantauan pegawai parol.

Susulan insiden tersebut, kerajaan Jerman mengumumkan tahap ancaman keselamatan akan dipertingkatkan, manakala pihak berkuasa di seluruh negara diminta menilai semula langkah keselamatan bagi acara berskala besar.

Canselor Jerman, Friedrich Merz, yang melawat lokasi kejadian pada Ahad menegaskan negara itu tidak akan tunduk kepada ancaman keganasan dan akan terus mempertahankan kebebasan serta keterbukaan masyarakatnya.

Serangan tersebut menggemparkan sambutan Berlin Pride, antara acara terbesar di Eropah yang lazimnya menarik ratusan ribu pengunjung setiap tahun.

Beberapa acara yang dijadualkan berlangsung pada Ahad turut dibatalkan susulan insiden berkenaan.
 

 

Must Watch Video

Advertisement