Skip to main content

Malaysia

MotoGP akan nilai situasi di Asia Barat tahun depan, tolak cadangan penggiliran

Ezpeleta bercakap dalam satu temu bual sempena acara Petronas Grand Prix Malaysia yang baru sahaja melabuhkan tirainya. - Foto Bernama
Ezpeleta bercakap dalam satu temu bual sempena acara Petronas Grand Prix Malaysia yang baru sahaja melabuhkan tirainya. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • MotoGP akan terus memantau situasi di Asia Barat dan menegaskan keselamatan sebagai faktor utama dalam menentukan penganjuran perlumbaan.
  • Tiada rancangan segera untuk melaksanakan sistem penggiliran lokasi perlumbaan walaupun konflik serantau berlarutan, menurut Timbalan CEO MotoGP, Carlos Ezpeleta.
  • Grand Prix Qatar diteruskan dengan jaminan keselamatan, namun Yamaha menarik diri atas faktor sekatan perjalanan dan penilaian risiko terkini.
Advertisement

KUALA LUMPUR: MotoGP Sports Entertainment Group SL akan menilai keadaan di Asia Barat semasa merangka jadual bagi tahun depan dan tiada rancangan segera untuk melaksanakan sistem penggiliran perlumbaan sekiranya konflik serantau berlarutan, kata timbalan ketua pegawai eksekutifnya (CEO), Carlos Ezpeleta.

Ezpeleta berkata MotoGP akan memantau perkembangan situasi bagi tahun hadapan, dengan aspek keselamatan menjadi penentu sama ada perlumbaan boleh diteruskan.

“Jika sesuatu acara berisiko tinggi, kami tidak akan berada di sana. Mungkin untuk masa depan, memandangkan kalendar kami terus berkembang di peringkat global, kita perlu mempertimbangkan kemungkinan penggiliran lokasi bagi sesetengah negara, namun, perkara itu bukan sebahagian daripada perancangan kami buat masa ini.

Advertisement

“Kami tidak mempunyai rancangan untuk memulakan sistem penggiliran acara dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu temu bual dengan Bernama pada hujung minggu lepas, sempena acara Petronas Grand Prix Malaysia yang baru sahaja melabuhkan tirainya.

Dalam pada itu, Ezpeleta diajukan soalan sama ada MotoGP Group mungkin memperkenalkan dasar penggiliran sementara atau menangguhkan kontrak penganjuran bagi lokasi di zon berisiko tinggi bermula musim depan, demi menjamin kestabilan kalendar perlumbaan.

Advertisement

Bagi musim MotoGP 2026, kalendar asal telah ditetapkan untuk merangkumi 22 pusingan Grand Prix. Walau bagaimanapun, susulan pembatalan Grand Prix Australia di Phillip Island pada penghujung Oktober, musim ini secara realistiknya akan berakhir dengan 21 pusingan Grand Prix.

Mengenai kesan konflik di Asia Barat tahun ini, Ezpeleta berkata penutupan ruang udara telah mengganggu pergerakan kargo dan kakitangan yang dalam perjalanan pulang dari Thailand ketika konflik tersebut bermula.

Ezpeleta berkata matlamat MotoGP kekal untuk melengkapkan kalendar yang telah dijadualkan, tertakluk kepada penilaian keselamatan.

Beliau berkata pihak penganjur telah bekerjasama rapat dengan kerajaan Qatar sejak beberapa bulan kebelakangan ini, serta menerima jaminan berhubung penilaian risiko, pelan kontingensi, dan keselamatan acara.

“Setakat ini, berdasarkan maklumat dan nasihat yang kami peroleh, kami yakin acara tersebut boleh diadakan dengan selamat minggu ini.

“Sudah tentu, kami terus memantau situasi dari semasa ke semasa setiap hari, buat masa ini, kami bersedia untuk berada di Qatar,” kata Ezpeleta.

Grand Prix Qatar, dijadualkan berlangsung dari 6 hingga 8 November di Litar Antarabangsa Lusail, ia menjadi titik pencetus kepada perbalahan besar antara pihak pengurusan MotoGP dan para peserta perlumbaan.

Perlumbaan itu, pada asalnya dijadualkan pada April, ditangguhkan susulan konflik di Asia Barat, para pelumba telah meminta jaminan mengenai pelan pemindahan dan perlindungan insurans, manakala pihak MotoGP menegaskan bahawa acara tersebut boleh diteruskan berdasarkan jaminan daripada pihak berkuasa Qatar serta penilaian keselamatan bebas.

Bagaimanapun, Yamaha mengumumkan pada Ahad bahawa mereka tidak akan menyertai perlumbaan tersebut, dengan menyatakan wujudnya sekatan perjalanan merentasi syarikat susulan penilaian terkininya terhadap situasi di rantau berkenaan.

Pengeluar dari Jepun itu memaklumkan bahawa keputusan mereka dibuat secara berasingan daripada langkah-langkah diambil oleh pihak MotoGP dan penganjur acara.

Ezpeleta berkata konflik tersebut telah menjejaskan kewangan MotoGP dari segi pengangkutan dan logistik, dengan harga bahan api memberikan impak paling besar tahun ini.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan anggaran angka kewangan berhubung operasi MotoGP.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement