DUNIA
Suspek ‘Tinder Swindler’ ditahan di Georgia

Simon Leviev (foto) didakwa menipu wanita melalui aplikasi Tinder dengan menyamar sebagai pewaris empayar berlian, menyebabkan kerugian mencecah AS$10 juta. -Foto Instagram @simonleviev8
BATUMI: Seorang lelaki warga Israel yang dikenali sebagai ‘Tinder Swindler’ ditahan pihak berkuasa Georgia di Lapangan Terbang Batumi pada Isnin, susulan notis merah yang dikeluarkan oleh Interpol.
Ringkasan AI
- Simon Leviev, dikenali sebagai Tinder Swindler, ditahan di Georgia berdasarkan notis merah Interpol, namun sebab penahanan belum didedahkan.
- Dia didakwa menipu wanita melalui aplikasi Tinder dengan menyamar sebagai pewaris empayar berlian, menyebabkan kerugian mencecah AS$10 juta.
- Dokumentari The Tinder Swindler di Netflix membuka mata masyarakat terhadap penipuan dalam talian dan menjadikan Leviev terkenal secara global.
Bagaimanapun, pihak berkuasa belum mendedahkan sebab khusus penahanan tersebut.
Leviev didakwa telah menipu mangsa dengan memperdaya mereka melalui gaya hidup mewah termasuk penerbangan peribadi dan percutian eksklusif, sebelum meminta sejumlah besar wang atas alasan keselamatan kononnya diburu 'musuh'.
Jumlah kerugian yang dikaitkan dengan penipuan ini dianggarkan mencecah AS$10 juta.
Antara mangsa yang tampil berkongsi pengalaman dalam dokumentari tersebut termasuk Cecilie Fjellhøy, yang mendakwa telah menyerahkan lebih AS$270,000 (kira-kira RM42 juta) kepada Leviev sepanjang hubungan mereka.
Seorang lagi wanita, Iren Tranov, telah memfailkan saman di Israel menuntut bayaran balik sebanyak 414,000 shekel (kira-kira RM540,000).
Leviev sebelum ini pernah disabitkan kesalahan penipuan di Finland dan Israel, termasuk kes pemalsuan dan penipuan pada 2011 dan 2015.
Dia dijatuhi hukuman penjara 15 bulan pada 2019 tetapi dibebaskan selepas lima bulan atas kelakuan baik.
Peguam Leviev, Sagiv Rotenberg, memaklumkan kepada media Israel bahawa anak guamnya telah “berjalan bebas ke seluruh dunia” sebelum ditahan dan mereka masih belum dimaklumkan sebab penahanan tersebut.
Dokumentari "The Tinder Swindler" mencetuskan perhatian global apabila ia menjadi antara dokumentari paling banyak ditonton di Netflix pada tahun 2022, sekali gus membuka mata masyarakat terhadap jenayah penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami