WASHINGTON: Pasukan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (U.S. Space Force) mengumumkan pada Jumaat bahawa syarikat milik Elon Musk, SpaceX, dianugerahkan kontrak bernilai AS$4.16 bilion bagi membangunkan program satelit untuk mengesan dan menjejaki ancaman udara.
Program dikenali sebagai Space-Based Advanced Moving Target Indicator (SB-AMTI) itu direka sebagai satu sistem bersepadu yang menggabungkan sensor berasaskan angkasa, rangkaian komunikasi selamat serta pemprosesan data di darat.
Pendekatan “system-of-systems” ini bertujuan memperkukuh kerjasama dalam ekosistem industri angkasa kerajaan, di samping meningkatkan keupayaan pengesanan dan tindak balas terhadap ancaman di ruang udara.
Inisiatif pertahanan peluru berpandu Golden Dome yang menjadi agenda utama pentadbiran Presiden Donald Trump merangkumi pelbagai lapisan perlindungan, termasuk lapisan pengesanan dan penjejakan.
Satelit di bawah SB-AMTI dijangka memainkan peranan penting dalam menjejak peluru berpandu.
Inisiatif Golden Dome bertujuan memperluas penggunaan pemintas darat, sensor serta sistem arahan dan kawalan, selain menambah satelit berasaskan angkasa bagi mengesan, menjejak dan berpotensi memintas ancaman udara - termasuk senjata yang masih dalam peringkat perbahasan untuk ditempatkan di orbit.
Menurut Pasukan Angkasa Lepas, beberapa syarikat terlibat dalam kumpulan vendor SB-AMTI, termasuk SpaceX, dan lebih banyak kontrak dijangka ditawarkan dalam tempoh setahun akan datang.
“Peruntukan awal ini dijangka membolehkan penggunaan gugusan satelit menjelang 2028, sekali gus memberikan keupayaan awal kepada angkatan bersama untuk menghapuskan ‘blind spot’ operasi,” menurut kenyataan itu.
Awal minggu ini, SpaceX turut menerima kontrak bernilai AS$2.29 bilion daripada Pasukan Angkasa Lepas bagi membangunkan rangkaian komunikasi satelit berkelajuan tinggi dan selamat, yang akan menghubungkan sensor ketenteraan serta platform persenjataan di seluruh dunia.
Sementara itu, kos keseluruhan projek perisai pertahanan peluru berpandu Golden Dome dilaporkan meningkat kepada AS$185 bilion - naik AS$10 bilion - bagi mempercepat pembangunan keupayaan utama berasaskan angkasa. - Agensi