Tahanan Palestin warga emas meninggal dunia dalam tahanan Israel

Mohammad telah ditahan sejak 6 Ogos 2024 dan ditempatkan di Penjara Ganot di selatan Israel. - Foto X/Mustafa Barghouti
RAMALLAH: Seorang tahanan Palestin warga emas, Mohammad Ghawadra, 63, dari Jenin di Tebing Barat, dilaporkan meninggal dunia pada Ahad ketika berada dalam tahanan Israel, menurut kenyataan bersama oleh Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Persatuan Tahanan Palestin.
Ringkasan AI
- Mohammad Ghawadra meninggal dunia dalam tahanan Israel selepas ditahan sejak Ogos 2024, menjadikan jumlah kematian tahanan Palestin sejak Oktober 2023 meningkat kepada 81 orang.
- Kumpulan hak tahanan dakwa kematian berlaku dalam suasana hasutan politik, serta menyorot layanan tidak berperikemanusiaan terhadap ribuan tahanan termasuk penyeksaan dan pengabaian perubatan.
- Israel kini menahan 89 mayat tahanan, sementara lebih 20,000 rakyat Palestin telah ditahan sejak perang Gaza bermula, dengan serangan di Tebing Barat turut meragut lebih 1,000 nyawa.
Allahyarham merupakan bapa kepada Sami Ghawadra, seorang tahanan pentadbiran, dan Shadi Ghawadra, bekas tahanan yang dibebaskan dan dihantar ke Mesir awal tahun ini di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza antara Hamas dan Israel.
Dengan kematian Mohammad, jumlah tahanan Palestin yang meninggal dunia dalam tahanan Israel sejak Oktober 2023 meningkat kepada 81 orang.
Kumpulan hak tahanan turut mendedahkan bahawa Israel kini menahan 89 mayat tahanan, termasuk 78 yang meninggal dunia selepas tercetusnya perang Gaza.
Mereka memberi amaran bahawa angka kematian dijangka terus meningkat memandangkan ribuan tahanan kini berada dalam keadaan tidak berperikemanusiaan, termasuk penyeksaan, kebuluran, serangan fizikal dan seksual, serta pengabaian perubatan.
Data terdahulu menunjukkan lebih 20,000 rakyat Palestin telah ditahan sejak Oktober 2023, dengan lebih 9,100 masih ditahan, selain ratusan lagi yang dikurung di kem tentera.
Dalam tempoh yang sama, serangan oleh tentera Israel dan peneroka haram di Tebing Barat telah meragut nyawa 1,063 rakyat Palestin dan mencederakan hampir 10,000 yang lain.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


