TAIPEI: Taiwan memaklumkan beberapa agensi kerajaan negara itu menjadi sasaran serangan siber yang dibantu kecerdasan buatan (AI) pada Julai lalu, namun insiden tersebut berjaya ditangani tanpa menjejaskan operasi pihak terbabit.
Kementerian Hal Ehwal Digital Taiwan berkata unit pemantauan keselamatan siber mengesan aktiviti serangan luar biasa terhadap beberapa agensi kerajaan sebelum Institut Keselamatan Siber Kebangsaan mengeluarkan beberapa amaran keselamatan bermula 20 Julai bagi menyiasat ancaman berkenaan.
Hasil siasatan mendapati serangan tersebut mempunyai ciri-ciri yang menunjukkan ia berpunca dari luar negara.
Penggodam dipercayai menggunakan gabungan operasi manual dan teknologi AI bagi melaksanakan serangan siber yang lebih canggih dan tersusun.
Menurut kementerian itu, semua sumber serangan, kaedah yang digunakan serta skop kesan terhadap sistem kerajaan telah dikenal pasti, manakala agensi yang terlibat berjaya mengambil langkah sewajarnya untuk mengatasi ancaman tersebut.
Insiden itu berlaku ketika Taiwan terus berdepan ancaman keselamatan siber yang semakin meningkat.
Taipei sebelum ini menuduh Beijing melancarkan apa yang disifatkan sebagai “perang hibrid”, termasuk tekanan ketenteraan, kempen maklumat palsu dan serangan siber terhadap pulau yang ditadbir secara demokratik itu.
Pada Januari lalu, Biro Keselamatan Negara Taiwan melaporkan purata 2.63 juta serangan siber sehari direkodkan sepanjang 2025, meningkat enam peratus berbanding tahun sebelumnya.
Sebahagian daripada serangan itu didakwa berlaku serentak dengan latihan ketenteraan China berhampiran Taiwan.
Perkembangan itu menyusul sehari selepas syarikat keselamatan siber Israel, Dream, mendedahkan penemuan satu kempen penggodaman berasaskan AI yang menyasarkan sebuah kerajaan di Asia.
Menurut syarikat berkenaan, beberapa ejen AI digunakan untuk mencuri kata laluan, mengakses rekod kakitangan dan mengesan kelemahan sistem keselamatan dalam tempoh empat hari.
Walaupun Dream tidak menamakan negara terbabit, laporan media antarabangsa mengenal pasti sasaran serangan tersebut sebagai beberapa agensi kerajaan Taiwan.
Susulan ancaman baharu itu, kerajaan Taiwan memaklumkan garis panduan perlindungan tambahan telah diperkenalkan dan pemantauan sistem keselamatan dipertingkatkan bagi membolehkan serangan siber dikesan serta disekat lebih awal.
Pakar keselamatan siber turut memberi amaran bahawa penggunaan AI dalam aktiviti penggodaman semakin berkembang pesat kerana teknologi tersebut mampu membantu penggodam mengenal pasti kelemahan sistem dan melaksanakan serangan dengan lebih pantas berbanding kaedah konvensional.