Taiwan senarai virus Nipah sebagai Penyakit Kategori 5 susulan wabak di India

Taiwan senarai virus Nipah sebagai Penyakit Kategori 5 susulan wabak di India. -Foto fail
TAIPEI: Taiwan akan mengklasifikasikan jangkitan virus Nipah sebagai Penyakit Kategori 5 berikutan wabak terbaharu yang dilaporkan di India, menurut Pusat Kawalan Penyakit (CDC) negara itu.
Keputusan tersebut dipersetujui selepas pihak berkuasa kesihatan mengeluarkan cadangan pindaan pada 16 Januari bagi menaik taraf status pemantauan virus itu di bawah peraturan kawalan penyakit Taiwan.
CDC memaklumkan bahawa cadangan itu kini memasuki tempoh semakan awam selama 60 hari sebelum dikuatkuasakan, lapor Focus Taiwan.
Sejak 2018, virus Nipah hanya berada di bawah kategori pemantauan keutamaan, namun peningkatan risiko akibat perkembangan wabak di India menyebabkan keperluan pelaporan dan kawalan lebih ketat.
Sejak dikesan pada 1998, lebih 750 kes Nipah dilaporkan secara global dengan kadar kematian sekitar 58 peratus, menurut data CDC Taiwan.
Sebaik diklasifikasikan sebagai Kategori 5, jangkitan Nipah akan termasuk dalam kelas penyakit baharu atau jarang berlaku tetapi membawa risiko kesihatan awam besar dan memerlukan pelaporan serta kawalan segera oleh fasiliti kesihatan.
Status ini meletakkan Nipah sebagai penyakit yang memerlukan perhatian khas, termasuk pengesanan awal serta tindakan respons pantas.
Susulan perkembangan di India, CDC Taiwan memaklumkan bahawa negara itu terus memantau situasi di West Bengal, yang mengesahkan lima jangkitan setakat 19 Januari.
Walaupun begitu, Taiwan mengekalkan amaran perjalanan Tahap 2 (kuning) hanya untuk negeri Kerala, yang sejak dahulu menjadi hotspot jangkitan, tanpa mengenakan sebarang sekatan perjalanan terhadap West Bengal atau wilayah lain di India.
Di bawah sistem empat tahap nasihat perjalanan Taiwan, amaran Tahap 2 menasihatkan pelancong supaya berwaspada dan mengambil langkah pencegahan.
Pelawat ke India disarankan mengelakkan makanan mentah atau tidak dipanaskan. CDC turut memberi peringatan bahawa kelawar buah — pembawa semula jadi virus Nipah — boleh mencemari buah seperti kelapa melalui air liur atau air kencing.
Justeru, pelawat digesa tidak meminum jus kelapa mentah dan berhati‑hati ketika berada di kawasan habitat hidupan liar.
Virus Nipah boleh menjangkiti manusia melalui kontak dengan kelawar atau haiwan seperti babi, melalui titisan pernafasan (droplet), atau sentuhan langsung dengan cecair badan individu berjangkit.
CDC Taiwan menjelaskan bahawa jangkitan boleh menyebabkan gejala meluas, daripada tiada simptom, radang paru‑paru teruk, hinggalah ensefalitis maut yang memerlukan rawatan intensif.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


