SUBANG JAYA: Proton Holdings Bhd telah melancarkan Proton X90 2026, kenderaan utiliti sukan (SUV) tujuh tempat duduk yang dipertingkatkan dengan sistem pacuan baharu bagi mengukuhkan lagi prestasi dan keyakinan pemanduannya.
Pengeluar kereta nasional itu melalui satu kenyataan memberitahu X90 dengan kemas kini terbaharu ini mengekalkan kelebihan ruang, keselesaan dan praktikalnya sambil menyampaikan pengalaman pemanduan yang lebih terperinci untuk perjalanan harian dan jarak jauh.
Advertisement
Proton X90 2026 boleh didapati dalam tiga varian iaitu Lite, Prime dan Prime X, ia menawarkan fleksibiliti pelanggan untuk memilih model yang paling sesuai dengan gaya hidup serta keperluan mereka.
“Harga atas jalan tanpa insurans ialah RM122,800 untuk 1.5TD Prime X, RM116,800 untuk 1.5TD Prime, dan RM106,800 untuk 1.5TD Lite di Semenanjung Malaysia, manakala di Malaysia Timur, masing-masing dijual pada harga RM124,800, RM118,800 dan RM108,800," katanya.
Sementara itu, Proton berkata setiap pembelian Proton X90 2026 didatangkan dengan pakej pemilikan standard yang direka untuk memberikan keyakinan sejak hari pertama.
Pakej itu merangkumi waranti lima tahun dengan perbatuan tanpa had dan lima tahun perkhidmatan buruh percuma; pilihan pembiayaan sehingga sembilan tahun dengan kadar faedah bermula dari 1.95 peratus setahun termasuk sokongan bernilai RM4,000 untuk pembatalan pendaftaran kenderaan lama yang ditukar.
“Bagi meraikan pelancaran itu, Proton menawarkan pakej pelancaran khas kepada 2,000 pelanggan pertama yang mendaftar kenderaan mereka sebelum 30 Jun 2026, termasuk rebat RM7,000 berserta faedah pemilikan tambahan.
“Selepas rebat, harga dikurangkan kepada RM115,800, RM109,800 dan RM99,800 di Semenanjung Malaysia atau RM117,800, RM111,800 dan RM101,800, masing-masing di Malaysia Timur," katanya.
“Faedah lain ialah sokongan nilai tukar tambah sehingga RM3,000 untuk pelanggan yang menukar kenderaan sedia ada mereka; perlindungan yang dipertingkat termasuk perlindungan bahaya khas, perlindungan bantuan banjir sehingga RM2,000 dan perlindungan kemalangan peribadi penumpang sehingga RM15,000 seorang sehingga empat penumpang,” katanya lagi.
-- BERNAMA