DUNIA
Taliban digesa bebaskan pasangan warga emas Britain sebelum 'maut dalam tahanan'

Barbie dan Peter Reynolds, ditahan oleh Taliban di Afghanistan sejak Februari lalu. - Gambar/ Rebuild Consultants
LONDON: Anak kepada pasangan warga emas Britain yang dipenjarakan oleh Taliban di Afghanistan merayu agar ibu bapa mereka dibebaskan segera sebelum "meninggal dalam tahanan," lapor PA Media/dpa.
Ringkasan AI
- Pasangan warga emas Britain, Barbie dan Peter Reynolds, ditahan oleh Taliban di Afghanistan sejak Februari tanpa pertuduhan dan dipisahkan selama lapan minggu di penjara keselamatan maksimum, dengan anak-anak mereka merayu pembebasan segera kerana kesihatan ibu bapa semakin merosot.
- Anak-anak mereka menyatakan pasangan itu telah berkhidmat selama 18 tahun di Afghanistan dalam program pendidikan dan telah membuat rayuan tertutup serta dua surat kepada kepimpinan Taliban, namun tiada kemajuan dicapai; rayuan awam kini dibuat semula dengan sokongan peguam hak asasi dan PBB.
- Pemeriksaan perubatan menunjukkan Peter mungkin mengalami strok atau serangan jantung senyap serta gejala kanser kulit, manakala Barbie mengalami kebas kaki akibat anemia; pasangan itu kini ditempatkan di Direktorat Am Perisikan dan masih tidur di atas lantai tanpa perabot.
Empat anak mereka yang menetap di Amerika Syarikat dan United Kingdom menyuarakan kebimbangan terhadap kesihatan kedua-dua ibu bapa mereka yang dilaporkan semakin merosot.
"Ini satu lagi rayuan mendesak kepada Taliban untuk membebaskan ibu bapa kami sebelum terlambat dan mereka meninggal dunia dalam tahanan.
"Mereka telah mendedikasikan hidup mereka untuk rakyat Afghanistan selama 18 tahun," kata mereka.
Mereka berkata dua surat telah dihantar secara peribadi kepada kepimpinan Taliban, selain rayuan awam yang dibuat bagi pembebasan ibu bapa mereka yang menjalankan program latihan sekolah di negara itu sejak 18 tahun lalu, termasuk selepas pengambilalihan kuasa oleh Taliban pada 2021.
Anak perempuan pasangan itu, Sarah Entwistle, berkata beliau dan adik-beradiknya sebelum ini tidak membuat sebarang kenyataan awam selama dua bulan dalam harapan tindakan itu akan mendorong Taliban membebaskan ibu bapa mereka, namun tiada kemajuan dicapai.
Menurutnya, mereka telah merayu secara tertutup kepada Taliban agar "menegakkan nilai belas ihsan, keadilan dan maruah insan."
"Kami ulangi rayuan ini secara terbuka sekarang," katanya.
Sejak mengambil alih pentadbiran, Taliban telah melaksanakan larangan ke atas wanita bekerja serta pendidikan bagi kanak-kanak perempuan berusia lebih 12 tahun.
Anak-anak Reynolds berkata kali terakhir mereka bercakap dengan ibu bapa mereka ialah lima minggu lalu, ketika ibu mereka memaklumkan bahawa kesihatan bapa mereka semakin merosot.
Pemeriksaan perubatan oleh pakar kardiologi secara jarak jauh menunjukkan Peter mungkin telah mengalami strok atau serangan jantung senyap, kata mereka.
Peter juga mengalami gejala seperti wajah merah, menggelupas dan berdarah yang mungkin menandakan kanser kulitnya kembali.
Sementara itu, Barbie pula terus mengalami kebas di bahagian kaki yang dikaitkan dengan masalah anemia, dipercayai berpunca daripada kekurangan makanan semasa dalam tahanan penjara keselamatan maksimum. Pemeriksaan perubatan turut menyatakan keadaan itu memberi tekanan tambahan kepada tubuhnya dan boleh mengakibatkan kegagalan jantung.
Pasangan itu yang baru meraikan ulang tahun perkahwinan ke-55 minggu ini, sebelum ini ditempatkan di Penjara Pul-e-Charkhi di ibu negara Kabul, menurut anak mereka.
Mereka kemudiannya dipindahkan ke Direktorat Am Perisikan (GDI), dengan janji akan dibebaskan dalam tempoh dua hingga tiga hari. Namun, dua bulan telah berlalu tanpa sebarang perkembangan.
Semasa di Penjara Pul-e-Charkhi, pasangan itu mempunyai akses kepada telefon dan menghubungi anak mereka setiap hari dari kawasan laman penjara.
Anak-anak mereka berkata walaupun keadaan lebih baik di GDI, ibu bapa mereka masih tidak mempunyai katil atau perabot dan hanya tidur di atas tilam di lantai.
Entwistle berkata mereka mengamalkan "sekatan media" sepanjang dua bulan lalu sebagai tanda hormat dan kepercayaan terhadap proses yang ditetapkan oleh Taliban.
"Kami berterima kasih kepada Doughty Street Chambers (dewan peguam terkemuka di UK yang pakar dalam hak asasi manusia) kerana berhubung dengan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Penyeksaan. PBB dijadual mengeluarkan kenyataan pada Isnin untuk menggesa pembebasan segera. Sehubungan itu, kami turut membuat rayuan awam sekali lagi kepada Taliban," katanya.
Pegawai Pejabat Luar United Kingdom (UK) turut dibenarkan membuat lawatan khas ke atas pasangan tersebut pada Khamis lalu bagi meninjau keadaan mereka.
"Kami sedang memberi sokongan kepada keluarga dua warganegara Britain yang ditahan di Afghanistan," kata jurucakap pejabat itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami