ISLAMABAD: Pemerintah Taliban akan menggunakan pasukan keamanan untuk melarang kaum wanita daripada mengunjungi salah sebuah taman negara paling popular di Afghanistan, kata jurucakap Kementerian Hal Ehwal Kebajikan negara itu.

Kementerian tersebut mendakwa, larangan itu dikuat kuasakan berikutan kaum wanita didakwa tidak mematuhi cara pemakaian sebenar hijab semasa menghabiskan masa di kawasan reakreasi Band-e-Amir di wilayah Bamiyan.

Larangan terbaharu itu dikeluarkan seminggu selepas menterinya, Mohammad Khalid Hanafi mengunjungi kawasan tersebut dan membuat laporan kepada pejabat dan ulama yang kaum wanita tidak mematuhi cara sebenar pemakaian hijab dan meminta anggota keselamatan menghentikan wanita dari mengunjungi tempat pelancongan tersebut.

“Bersiar-siar bukanlah keperluan untuk kaum wanita,” kata Mohammad Khalid susulan kunjungan beliau ke kawasan peranginan itu.

Sementara itu, jurucakap kementerian, Molvi Mohammad Sadiq Akif berkongsi laporan kenyataan Hanafi pada Sabtu malam yang turut menekankan bahawa khidmat pasukan keamanan dan ulama diperlukan untuk melaksanakan perintah Hanafi.

"Tidak hanya menghalang daripada melanjutkan pelajaran, pekerjaan dan kebebasan bergerak gadis dan wanita, Taliban juga ingin mengambil hak golongan itu daripada berkunjung taman-taman, bersukan dan sekarang menyekat untuk menikmati alam seperti yang kita lihat dengan larangan terbaharu terhadap wanita mengunjungi Band-e-Amir," kata Pengarah Hak Asasi Wanita Human Rights Watch,  Heather Barr, mengulas tindakan terbaharu Taliban.

"Satu demi satu larangan dilakukan dalam usaha mengepung wanita, sehinggakan setiap rumah menjadi seperti sebuah penjara."

Pada November tahun lalu, pemerintahan Taliban melarang wanita menggunakan kawasan umum termasuk taman-taman awam dengan alasan mereka tidak memakai hijab dengan sempurna atau mengikut peraturan pemisahan jantina.

Band-e-Amir merupakan salah satu daripada tarikan pelancongan utama di Bamiyan.

Ia merupakan taman negara pertama negara ini yang dibuka pada tahun 2009 dan menarik ribuan pengunjung setiap tahunnya.

Band-e-Amir juga Ini menjadi sumber pendapatan utama bagi penduduk tempatan dan perniagaan-perniagaan mereka seperti pelancongan, restoran, hotel dan kraftangan. - Agensi