KABUL: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendakwa Taliban "terlepas peluang kritikal" bagi menunjukkan kepada dunia yang mereka benar-benar komited untuk membangun masyarakat yang inklusif dan sejahtera.

Wakil negara untuk wanita PBB di Afghanistan, Alison Davidian berkata, nasib wanita di negara itu masih belum terbela dan Taliban dilihat tidak ada rancangan ke arah itu.

Alison berkata, setiap hari pihaknya menerima tuntutan hak wanita termasuk kebenaran wanita di negara itu meninggalkan rumah tanpa anggota keluarga lelaki atau keluar bekerja.

"Taklimat ini dibuat sehari selepas pengumuman peralihan pemerintahan Taliban yang gagal memasukkan calon wanita dan seperti telah menghapuskan Kementerian Hal Ehwal Wanita.

"Penghormatan terhadap hak-hak wanita adalah satu keutamaan bagi mana-mana pihak berkuasa dan ketiadaannya perlu diselidiki.

"Tetapi dengan pengumuman semalam, Taliban telah kehilangan peluang penting untuk menunjukkan kepada dunia bahawa ia benar-benar komited untuk membangunkan masyarakat yang inklusif dan sejahtera," kata Alison.

Taklimat itu diadakan sehari selepas Taliban mengumumkan anggota kerajaan sementaranya untuk Afghanistan yang disandang sepenuhnya oleh lelaki.

Kerajaan sementara itu juga menggariskan undang-undang keras yang sama digunakan sejak 1990an.

Pada Selasa, Taliban mengumumkan penubuhan kerajaan sementara di bawah pimpinan Hasan Akhund yang dikenakan sekatan oleh PBB sejak 2001.