JAKARTA: Fasa kedua projek Transit Aliran Massa (MRT) Jakarta Utara Selatan melebihi kos asal berikutan masalah pembinaan yang rumit dan keadaan tanah yang tidak stabil.

Kos projek MRT sepanjang 12.3 kilometer itu yang merentasi laluan Bulatan Hotel Indonesia-Ancol meningkat kepada 26 trilion rupiah(AS$1=14,828 rupiah) daripada peruntukan awal sebanyak 22.5 trilion rupiah, menurut menteri ekonomi Indonesia.

"Laluan MRT itu melintasi tapak warisan Kota Tua, justeru kita perlu lebih berhati-hati dalam membina strukturnya," kata Menteri Penyelaras Ekonomi, Airlangga Hartarto dalam satu kenyataan.

Kota Tua atau Old City, adalah kawasan kejiranan yang meliputi kawasan asal pusat bandar ibu kota dan penempatan bertembok pertama Belanda pada abad ke-17.

Airlangga berkata, laluan MRT sepanjang 12.3 kilometer itu dibina sepenuhnya di bawah tanah, berbeza daripada projek fasa pertama, iaitu sepanjang 15.7 kilometer dengan 5.7 kilometer di bawah tanah dan 10 kilometer adalah binaan bertingkat.

Fasa pertama telah beroperasi sejak 24 Mac 2019.

Kerajaan juga sedang mencari tapak baharu untuk hentian terakhir di bahagian lain di Ancol dan kawasan Marina, berikutan masalah pengambilan tanah di tapak cadangan di Ancol Barat.

Projek MRT fasa dua terdiri daripada dua peringkat, iaitu fasa 2A dan 2B, dengan Fasa 2A membabitkan pembinaan tujuh stesen bawah tanah - Thamrin, Monas, Harmoni, Sawah Besar, Mangga Besar, Glodok dan Kota - sepanjang 5.8 kilometer.

Laluan Kota-Ancol di bawah Fasa 2B sedang menjalani kajian kebolehlaksanaan oleh pengendali projek milik perbandaran, PT MRT Jakarta.

-- BERNAMA