MARGARITA Grachyova, 25 tahun tidak menyangka suaminya berubah sikap.

Wanita Rusia ini dibawa ke dalam hutan, diikat, diarah melutut sebelum tangannya ditetak berulang kali menggunakan kapak. Tindakan gila ini dilakukan angkara cemburu.

Dmitri Grachyov, 26 tahun berjaya ditahan pihak berkuasa. Dia berdepan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun atau perlu menjalani rawatan psikiatrik sekiranya mentalnya disahkan tidak sihat untuk berdepan perbicaraan.

Apapun hukuman terhadap lelaki itu tidak akan dapat mengembalikan tangan asal Margarita. Lapan tulang tangan kirinya patah akibat hentakan kapak. Namun doktor menjangkakan 70 peratus fungsi tangan kirinya itu dapat dikembalikan.

Malangnya tangan kanan Margarita hancur teruk dan tidak boleh diselamatkan lagi. Bagaimanapun hasil teknologi dan inovasi masa kini memberi sinar harapan baharu buat wanita muda ini.

Baru-baru ini Margarita diterbangkan ke Duderstadt, Jerman bagi disatukan dengan tangan baharunya. Dia diberi dua jenis tangan bionik yang boleh ditukar ganti.

Pasukan perubatan menggunakan getaran elektrik bagi merangsang otot tangan kanannya. Margarita yang telah kembali ke Rusia masih dalam proses memahirkan diri menggunakan anggota baharunya itu.

Mengimbau kembali detik hitam yang ditempuhinya, Margarita masih terbayang wajah suaminya yang tenang ketika memperlakukan dirinya sebegitu. Sedangkan dia menderita menanggung azab yang tidak terhingga.

Bagi Margarita dia tidak sama sekali menyangka suaminya yang selama ini tenang, bertukar sikap bagaikan dirasuk selepas dia menuntut cerai.

Jelasnya lagi perwatakan Dmitri mula berubah selepas membaca mesej dari rakannya yang mengundang cemburu buta.