INTERNATIONAL
Tarif Trump: "Oh ya, dia kawan saya. Saya suka dia" - Trump sedia bertemu Xi Jinping

Presiden Trump sedia bertemu Presiden Jinping di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan kesediaannya untuk bertemu rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping, di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara.
“Oh ya, dia kawan saya. Saya suka dia,” kata Trump apabila ditanya oleh wartawan sama ada beliau akan mempertimbangkan untuk berbincang atau bertemu dengan pemimpin China itu.
“Sudah tentu, saya akan bertemu dengannya,” tambah beliau dalam sidang media di White House, di sini, pada Rabu.
Kata Trump: "Saya fikir melabur di Amerika Syarikat adalah pelaburan terbaik. Xi seorang yang bijak. Beliau antara individu paling bijak di dunia. kita akan capai perjanjian yang baik.”Trump sempat menyentuh kekuatan ketenteraan Amerika Syarikat, dengan berkata:
"Kita ada senjata yang tiada siapa pun tahu," sebelum kembali memuji Xi Jinping.
Menurut Trump, Jinping seorang pemimpin yang tahu apa yang perlu dilakukan dan beliau cintakan
negaranya."
Terdahulu, Trump mengumumkan beliau akan menaikkan kadar tarif ke atas China kepada 125 peratus selepas Beijing mengenakan tarif timbal balik ke atas barangan dari AS.
Dalam satu acara lain di White House pada hari yang sama, Trump berkata beliau percaya bahawa "China mahu mencapai perjanjian.”
Ketika menjawab soalan wartawan selepas menandatangani beberapa perintah eksekutif, Trump turut menyebut bahawa Jepun, Korea Selatan dan beberapa negara lain “sedang berhubung dengan kita dan kita sedang cuba mengatur pertemuan.”
Beliau, bagaimanapun, tidak memperincikan sama ada pegawai dari negara-negara tersebut sedang berada di Washington atau hanya menjadualkan pertemuan.
Trump turut menyatakan: “Sebenarnya, semua orang mahu buat perjanjian. Kita mahu lakukan yang terbaik untuk negara kita, dan juga yang terbaik untuk dunia.” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami