Skip to main content

Dunia

Teater opera Venice gugur pengarah muzik baharu susulan kenyataan nepotisme

FILE - Beatrice Venezi poses for photographers on the red carpet for the film "The Smashing Machine" during the 82nd edition of the Venice Film Festival in Venice, Italy, Sept. 1, 2025. (Alessandra Tarantino/Invision/AP, File)
Pelantikan Venezi ke jawatan berprestij itu sejak awal telah dibayangi kontroversi selepas ia diumumkan pada September lalu. - Foto AP

VENICE: Teater opera berprestij Venice, La Fenice, menggugurkan pelantikan Beatrice Venezi sebagai pengarah muzik baharu, hanya beberapa bulan sebelum beliau dijadualkan memulakan tugas, susulan kenyataan awam yang mencetuskan kemarahan pemuzik dan kakitangan teater itu.

Venezi, 36, sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas satu temu bual dengan sebuah akhbar Argentina, di mana beliau menyindir bahawa jawatan dalam orkestra opera “hampir diwarisi daripada bapa kepada anak”.

Advertisement

Kenyataan tersebut dianggap menghina dan menjejaskan integriti profesional barisan pemuzik La Fenice.

“Saya tidak mempunyai penaung. Itulah bezanya. Saya tidak datang daripada keluarga pemuzik,” kata Venezi dalam wawancara berkenaan, sambil menambah bahawa pihak yang menentang pelantikannya adalah “takut kepada perubahan dan pembaharuan”.

Beberapa hari selepas wawancara itu diterbitkan, pihak pengurusan La Fenice mengumumkan bahawa Venezi telah dipecat daripada jawatan yang belum disandangnya itu, dengan alasan beliau membuat “kenyataan awam berulang dan serius yang bersifat menyinggung serta merosakkan kedudukan artistik dan profesional” teater dan orkestra tersebut.

Pelantikan Venezi ke jawatan berprestij itu sejak awal telah dibayangi kontroversi selepas ia diumumkan pada September lalu.

Beliau dianggap luar biasa muda dan mempunyai pengalaman yang terhad berbanding individu terdahulu yang memegang jawatan tersebut di salah sebuah institusi seni terpenting Itali.

Sebahagian pengkritik mendakwa Venezi memperoleh jawatan itu kerana hubungan rapatnya dengan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni.

Venezi merupakan anak kepada bekas pemimpin parti neo-fasis Forza Nuova dan sejak 2022 berkhidmat sebagai perunding muzik kepada Kementerian Kebudayaan Itali.

Pada Oktober lalu, kesatuan pekerja La Fenice melancarkan mogok bagi membantah pelantikan itu, dengan ramai pemuzik dan kakitangan mempertikai kelayakan Venezi untuk mengetuai arah muzik teater berkenaan.

Dalam satu surat terbuka kepada Pengurus Besar La Fenice, Nicola Colabianchi, kakitangan menyatakan bahawa latar belakang profesional Venezi tidak sebanding dengan pengarah muzik terdahulu.

Walaupun secara rasmi pengurus besar mempunyai hak untuk melantik pengarah muzik, amalan biasa ialah mendapatkan pandangan orkestra terlebih dahulu bagi memastikan kerjasama yang berkesan.

Dalam kes Venezi, orkestra hanya dimaklumkan selepas pelantikan tersebut diumumkan secara rasmi.

Ketidakpuasan terhadap pelantikan itu turut dizahirkan secara terbuka, termasuk ketika konsert tradisional malam Tahun Baharu apabila anggota koir, orkestra dan juruteknik memakai pin emas sebagai tanda protes.

Beberapa penonton juga dilaporkan melontarkan risalah bertulis “Music is art, not entertainment” dari tempat duduk penonton selepas beberapa persembahan tahun lalu.

Dalam wawancara yang mencetuskan kontroversi itu, Venezi menyifatkan Meloni sebagai “wanita yang berkuasa dan berwibawa”, serta mengesahkan mereka saling mengenali sejak sebelum Meloni memulakan kerjaya politik.

Namun, Venezi menegaskan beliau tidak pernah terlibat dalam politik dan tidak berminat untuk berbuat demikian.

Pada Isnin, pejabat Meloni menafikan laporan sebuah akhbar yang mendakwa perdana menteri itu memberi kebenaran untuk Venezi digugurkan.

Akhbar Corriere della Sera sebelum ini melaporkan bahawa Meloni meluluskan pemecatan Venezi susulan “pengumpulan kontroversi” mengelilingi pelantikan pengarah muzik baharu itu.

Venezi, yang memulakan kerjaya sebagai konduktor pada usia 22 tahun, pernah bekerja di dalam dan luar Itali, termasuk di Armenia, Uruguay dan Argentina.

Namun, kontroversi berterusan akhirnya membawa kepada penamatan awal pelantikannya di La Fenice.

 

Must Watch Video