KINSHASA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus tiba di Kinshasa pada Khamis bagi menyelaras tindak balas terhadap wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC), sambil memberi amaran bahawa konflik, perpindahan penduduk dan ketidakpercayaan masyarakat menyukarkan usaha membendung penularan.
Bercakap sejurus tiba, beliau menyifatkan situasi wabak itu sebagai "sangat kompleks" dan menggesa agar gencatan senjata dilaksanakan bagi memudahkan operasi kesihatan dijalankan.
Menurutnya, faktor keselamatan yang tidak menentu serta kekurangan bekalan makanan turut menjejaskan usaha menangani wabak berkenaan.
Dr Tedros turut menyeru peningkatan pembiayaan antarabangsa, dengan menyatakan bahawa setakat ini hanya kira-kira satu pertiga daripada dana yang diperlukan berjaya diperoleh.
โTanpa petugas kesihatan, adalah amat sukar untuk membantu mereka yang memerlukan,โ katanya.
Beliau berkata akan melawat bandar Bunia di timur negara itu bagi menilai situasi semasa, ketika WHO bersama rakan kerjasama mempergiat usaha mempercepatkan ujian klinikal bagi vaksin dan rawatan berpotensi, yang dijangka mengambil masa beberapa bulan sebelum dapat digunakan secara meluas.
Antara rawatan percubaan yang sedang dipertimbangkan termasuk terapi keluaran Regeneron, maftivimab, serta ubat antiviral remdesivir keluaran Gilead, manakala calon vaksin masih dalam tempoh beberapa bulan sebelum memasuki fasa ujian.
Dalam pada itu, Dr Tedros menegaskan WHO tidak mengesyorkan sekatan perjalanan sebagai langkah pencegahan, kerana ia mempunyai manfaat yang terhad dalam usaha membendung penularan penyakit berkenaan.