Skip to main content

Malaysia

MOTAC teroka peluang perkukuh pelancongan mesra Muslim Malaysia

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC Chua Choon Hwa berkata Persidangan Pelancongan Islam Sedunia (WITC) antara inisiatif penting yang menghimpunkan perwakilan antarabangsa, pemimpin industri dan pemain sektor pelancongan bagi bertukar pandangan, menjalin kerjasama serta mengenal pasti peluang bagi mengembangkan sektor penting itu. - Foto Facebook MOTAC
Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC Chua Choon Hwa berkata Persidangan Pelancongan Islam Sedunia (WITC) antara inisiatif penting yang menghimpunkan perwakilan antarabangsa, pemimpin industri dan pemain sektor pelancongan bagi bertukar pandangan, menjalin kerjasama serta mengenal pasti peluang bagi mengembangkan sektor penting itu. - Foto Facebook MOTAC

Ringkasan AI

  • Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui ITC sedang memperkukuh Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim menerusi pelbagai inisiatif.
  • Persidangan Pelancongan Islam Sedunia (WITC) 2026 di Kuantan menghimpunkan 150 peserta dari lebih 35 negara untuk memperkukuh kerjasama sektor pelancongan mesra Muslim.
  • Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka memudahkan perjalanan, membuka peluang baharu dan meningkatkan sektor pelancongan serta pelaburan di Pahang.
Advertisement

KUANTAN: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Pusat Pelancongan Islam (ITC) sedang meneroka peluang untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC Chua Choon Hwa berkata Persidangan Pelancongan Islam Sedunia (WITC) antara inisiatif penting yang menghimpunkan perwakilan antarabangsa, pemimpin industri dan pemain sektor pelancongan bagi bertukar pandangan, menjalin kerjasama serta mengenal pasti peluang bagi mengembangkan sektor penting itu.

"Potensi sektor ini amat besar, mengambil kira skala dan kepelbagaian komuniti Muslim global yang semakin menjadi pasaran penting dalam industri pelancongan," katanya dalam ucapan aluan pada majlis perasmian WITC 2026 di sini hari ini.

Advertisement

Chua berkata menurut laporan State of the Global Islamic Economy 2025/26, perbelanjaan pelancongan Muslim diunjurkan meningkat daripada USD249 bilion pada 2024 kepada USD424 bilion menjelang 2029, sekali gus menjadikannya sektor pengguna yang paling pesat berkembang dalam ekonomi Islam global.

"Bagaimanapun, kejayaan menembusi pasaran ini bukan sekadar menarik kedatangan pelancong. Kita perlu memahami keperluan mereka serta menyediakan pengalaman yang mudah diakses, selesa dan diyakini," katanya.

Advertisement

Beliau berkata makanan halal, kemudahan solat yang bersesuaian dan penginapan mesra Muslim kekal menjadi antara keutamaan pelancong, selain pengalaman berkaitan alam semula jadi, budaya, beli-belah, kesejahteraan, aktiviti kekeluargaan dan keunikan pengalaman tempatan.

"Malaysia berada pada kedudukan baik untuk memenuhi jangkaan ini. Ekosistem halal yang mantap, kepelbagaian produk pelancongan serta pengalaman dalam melayani pelancong antarabangsa menyediakan asas kukuh untuk pertumbuhan sektor ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata Kerajaan Negeri Pahang kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan, Pusat Pelancongan Islam, pemain industri dan rakan antarabangsa.

"Kami mengalu-alukan pelaburan baharu, idea bernas dan perkongsian ilmu bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pelancongan serta membangunkan produk lebih menarik. Saya percaya persidangan ini platform penting untuk menjalin kerjasama baharu dan bertukar pengalaman," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian bagi pihak Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Mohd Soffi berkata projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) antara projek utama yang akan meningkatkan hubungan antara Pahang dengan kawasan lain di Semenanjung.

Beliau berkata dengan tujuh stesen ECRL di Pahang, projek itu dijangka memudahkan perjalanan dan membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan, perdagangan serta pelaburan.

"Projek ini juga akan menggalakkan pengunjung meneroka lebih banyak destinasi di Pahang, termasuk kawasan tanah tinggi, kampung tradisional dan tarikan tempatan," katanya.

WITC 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Kuantan dianjurkan oleh ITC, sebuah agensi di bawah MOTAC, dengan Kerajaan Negeri Pahang sebagai tuan rumah rasmi.

Persidangan bertemakan Faith and Family Beyond Borders itu dijangka menghimpunkan 150 peserta dari lebih 35 negara, sekali gus menjadi platform kepada pemain industri global untuk bertukar pandangan, meneroka peluang baharu dan memperkukuh kerjasama dalam sektor pelancongan mesra Muslim.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement