TEHRAN: Satu upacara perarakan jenazah Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan mangsa nahas helikopter pada Ahad lepas telah diadakan di ibu kota Iran, Tehran, lapor Agensi Berita Iran (IRNA).

Rakyat Iran dari seluruh pelosok negara telah berhimpun di Tehran bagi menyertai upacara perarakan jenazah presiden dan mangsa-mangsa nahas helikopter itu.

Penyokong Revolusi Islam membanjiri jalan-jalan di ibu kota untuk memberi penghormatan terakhir kepada Raisi dan pegawai-pegawai lain yang terkorban dalam nahas helikopter pada 19 Mei di barat laut Iran.

Dengan laungan, "Hari ini adalah hari berkabung", lautan manusia itu melahirkan ucapan takziah atas pemergian presiden dan rombongannya.

Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei mengetuai solat jenazah di Universiti Tehran pada pagi Rabu sebelum perarakan jenazah di ibu kota.

Lebih 40 delegasi asing berpangkat tinggi menyertai upacara pada petang Rabu di sini bagi memperingati kematian Presiden Raisi dan rombongannya.

Presiden Iran, Raisi bersama Menteri Luar, Hossein Amirabdollahian dan pegawai-pegawai Iran lain berada dalam penerbangan pulang daripada majlis perasmian empangan di sempadan Iran dengan Azerbaijan pada Ahad apabila helikopter mereka terhempas di kawasan pergunungan di Wilayah Varzaghan.

Kesemua yang berada di dalam helikopter berkenaan terkorban dalam nahas itu.

-- BERNAMA