Tekanan AS buat syarikat penapis minyak India berwaspada beli minyak Rusia

Presiden Donald Trump pada Ahad berkata, AS boleh mengenakan tarif yang lebih tinggi terhadap India sekiranya New Delhi tidak mengurangkan pembelian minyak Rusia. - AP
NEW DELHI: Tekanan daripada Amerika Syarikat (AS) menyebabkan syarikat penapis minyak India berwaspada dalam pembelian minyak mentah Rusia.
Reliance Industries Limited, pengimport utama minyak mentah Rusia bagi loji penapisannya di Jamnagar, negeri Gujarat, pada Selasa menafikan laporan berita yang mendakwa tiga kapal tangki membawa hampir 2.2 juta tong minyak mentah jenis Urals sedang dalam perjalanan untuk membuat penghantaran awal bulan ini.
"Loji penapisan Jamnagar milik Reliance Industries tidak menerima sebarang penghantaran minyak Rusia sejak kira-kira tiga minggu lalu dan tidak menjangkakan sebarang penghantaran minyak mentah Rusia pada Januari," menurut syarikat milik bilionair Mukesh Ambani itu dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform X.
"Kami amat kesal kerana pihak yang mendakwa berada di barisan hadapan kewartawanan beretika memilih untuk mengabaikan penafian RIL mengenai pembelian minyak Rusia bagi penghantaran Januari dan menyiarkan laporan tidak benar yang mencemarkan imej kami," katanya sambil menyifatkan laporan itu sebagai tidak benar sama sekali.
Kenyataan itu dibuat susulan kenyataan Presiden Donald Trump pada Ahad bahawa AS boleh mengenakan tarif yang lebih tinggi terhadap India sekiranya New Delhi tidak mengurangkan pembelian minyak Rusia.
India menyaksikan lonjakan ketara import minyak mentah dari Rusia sejak konflik antara Rusia dan Ukraine tercetus pada 2022, namun tekanan berterusan AS terhadap industri tenaga Rusia serta tarif tambahan yang dikenakan Trump terhadap barangan India tahun lalu telah menyebabkan pengurangan dalam urus niaga tenaga Rusia oleh negara itu.
Pada 2024, Reliance menandatangani perjanjian jangka panjang dengan syarikat minyak Rusia, Rosneft, untuk membeli 500,000 tong minyak mentah sehari.
Penghantaran minyak Rusia ke loji penapisan Jamnagar milik Reliance merosot kepada kira-kira 270,000 tong sehari pada Disember, mewakili kurang 20 peratus daripada jumlah importnya, menurut laporan Bloomberg pada Jumaat yang memetik data firma analisis maritim Kpler.
Minyak Rusia yang dijual pada harga diskaun turut menarik minat syarikat milik kerajaan seperti Indian Oil Corp dan Bharat Petroleum Corp.
Bagaimanapun, sekatan Barat yang menyasarkan perdagangan tenaga Rusia telah merumitkan keadaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


